Dr. Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan mendakwa penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung pembelian 60 pesawat Boeing bernilai RM81 billion mengelirukan.

Bahkan parti itu mendakwa penjelasan itu menutup fakta bahawa kerajaan telah membuat pelbagai kompromi dalam rundingan tarif dengan Amerika Syarikat (AS).

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mengingatkan keuntungan Malaysia Airlines (MAS) telah merosot daripada RM1.1 bilion (keuntungan sebelum cukai) pada tahun 2023 kepada hanya RM113 juta (menurun 89.7%).

Lantaran itu, beliau mempersoalkan berapa kali ganda nilai RM81 bilion untuk pembelian pesawat daripada RM54 juta keuntungan syarikat penerbangan nasional itu.

“Melainkan kerajaan mengambil keputusan membenarkan semua syarikat milik kerajaan beroperasi secara bebas dan menanggung untung rugi sendiri, dan kerajaan tidak lagi memberi sebarang subsidi, maka barulah rakyat boleh yakin bahawa pembelian pesawat kali ini tidak melibatkan wang pembayar cukai.

“Jika tidak, selagi ia adalah syarikat milik kerajaan, maka ia tetap berkait rapat dengan kedudukan kewangan negara dan operasi ekonomi rakyat. Apabila perbelanjaan melebihi pendapatan, kerugian akan berlaku.

“Dan kerugian ini boleh menjejaskan operasi syarikat sehingga terpaksa diselamatkan kerajaan melalui subsidi atau penstrukturan semula, yang akhirnya tetap melibatkan wang pembayar cukai,” ,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Berikutan itu, beliau mendakwa kenyataan Anwar ini sebenarnya adalah satu lagi versi penceritaan terpilih, sama seperti dakwaan beliau sebelum ini tentang kejayaan mengurangkan hutang negara sebanyak RM20 bilion.

Dominic mengingatkan Perbendaharaan Negara yang memegang 100% ekuiti Malaysia Airlines, oleh itu, prestasi kewangan syarikat penerbangan itu mempunyai kaitan langsung dengan kewangan negara dan operasi ekonomi nasional.

Tambah beliau lagi, Tengku Zafrul yang berlatar belakangkan sektor kewangan seharusnya lebih sensitif terhadap data.

Namun, Dominic percaya berlaku kekeliruan terhadap kenyataan Tengku Zafrul yang mendakwa pembelian 60 pesawat Boeing telah diputuskan lebih awal dan tidak melibatkan dana awam.

“Sebelum pengumuman tarif 19% oleh kerajaan Amerika Syarikat, Malaysia Airlines hanya bersetuju membeli 30 buah pesawat Boeing. Mengapa selepas pengumuman tarif tersebut, tiba-tiba jumlahnya meningkat menjadi 60 buah?” soal Dominic.

Berikutan itu, Presiden Gerakan itu menyimpulkan keputusan pembelian tambahan pesawat itu sebenarnya mencerminkan hakikat bahawa Kerajaan Malaysia terpaksa akur terhadap tekanan Amerika Syarikat.

“Dari sudut makroekonomi, keputusan ini mungkin satu keperluan, tetapi dari sudut mikroekonomi, kebimbangan utama adalah sama ada keuntungan semasa dan masa depan Malaysia Airlines mencukupi untuk menanggung kos pembelian pesawat-pesawat ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast