GEORGE TOWN – Seramai 9,405 penerima di negeri ini akan menerima bantuan kewangan berjumlah lebih RM1.72 juta menerusi Program i-Sejahtera Fasa 2/2025 yang akan mula disalurkan melalui pemindahan dana elektronik (EFT) mulai esok.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, bayaran itu melibatkan empat kategori utama iaitu Penghargaan Warga Emas, Bantuan Ibu Tunggal, Penghargaan Suri Emas dan Bantuan OKU.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 7,187 warga emas bakal menerima sumbangan sebanyak RM1.43 juta, manakala 317 ibu tunggal menerima RM31,700.
“Selain itu, 1,280 suri rumah tersenarai dalam program Suri Emas bakal menerima RM128,000, dan 621 individu orang kelainan upaya (OKU) pula akan menerima bantuan berjumlah RM124,200.
“Bayaran Fasa 2 ini hanya melibatkan pemohon baharu yang mendaftar sebelum 30 Jun lalu manakala bagi permohonan yang dibuat selepas tarikh itu akan diproses untuk pembayaran pada Fasa 1 tahun 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Siew Khim berkata, sejak Januari hingga Julai tahun ini, Kerajaan Negeri telah menyalurkan sejumlah RM53.83 juta di bawah pelbagai skim bantuan i-Sejahtera kepada lebih 285,000 penerima.
Jelasnya, antara bantuan yang telah diagihkan termasuk Penghargaan Warga Emas sebanyak RM41.99 juta kepada lebih 209,000 penerima; Bantuan Ibu Tunggal (RM1.06 juta); program Suri Emas (RM4.42 juta) serta bantuan kepada OKU (RM3.12 juta).
“Selain itu, dua bantuan one-off turut diberikan iaitu sumbangan Anak Emas kepada 2,700 penerima berjumlah RM540,000 serta Sumbangan Khairat Kematian kepada 2,695 penerima melibatkan peruntukan sebanyak RM2.69 juta.
“Justeru itu, kita menyeru semua penerima agar segera mengemaskini maklumat akaun bank mereka bagi memastikan pembayaran seterusnya berjalan lancar, khususnya bagi Fasa 1/2026.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited memperkukuh dasar kebajikan agar bantuan yang disalurkan benar-benar memberi impak positif kepada kehidupan rakyat,” katanya.
Orang awam yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Program i-Sejahtera boleh melayari laman sesawang rasmi di https://isejahtera.penang.gov.my atau menghubungi talian 04-650 5699/5700. – MalaysiaGazette
















