Pesawat Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) meminta kerajaan menyemak semula cadangan membeli 60 pesawat Boeing  bernilai RM81 bilion yang mengejutkan rakyat negara ini.

Sekretariat kesatuan itu berkata, permohonan itu berasas kerana prestasi kewangan syarikat Malaysia Airlines Berhad (MAB) masih belum stabil dan pembelian 60 pesawat ini bermakna syarikat berkenaan terpaksa memikul semula beban kewangan yang baru.

Menurut beliau, penjelasan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berhubung pembelian pesawat itu belum cukup menyakinkan terutama dalam industri penerbangan kerana MAB akan memikul beban hutang dalam jangka panjang.

“Adakah MAB mampu menyelesaikan dan membayar beban hutang baru walhal hutang lama juga masih belum selesai?,” katanya.

NUFAM turut menolak kenyataan Tengku Zafrul yangf mendakwa keputusan pembelian pesawat baru ini atas persetujuan pihak pengurusan MAB dan bukan kerajaan.

Dakwanya, kenyataan ini sama sekali tidak benar kerana MAB dikendalikan oleh Khazanah Nasional Berhad, yang mana Menteri Kewangan adalah Pengerusi Khazanah Nasional.

“NUFAM agak kecewa juga dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan kerana ia seumpama menekan syarikat penerbangan nasional dengan tindakan yang tidak masuk akal.

“Kesan kewangan lebih membimbangkan jika MAB terpalit semula dengan hutang  pembelian pesawat baharu seperti zaman dulu apabila berbilion ringgit dana kerajaan telah disunti bagi menyelamatkan Malaysia Airlines (MAS).

“Atas sebab pembaziran ini dan beban hutang yang lama menyebabkan MAS terpaksa menghentikan 6,000 pekerja dan mengubah struktur operasi MAS semula pada 2015 dan masalah begini tidak mustahil akan berlaku lagi,” sambil mengingatkan MAS mengalami masalah kewangan selepas membeli enam pesawat A380 pada nilai RM6 billion.

Pesawat-pesawat berkenaan terpaksa dijual dan kos tanggungan yang tinggi terpaksa ditanggung oleh MAS.

Oleh sebab itu, Sekretariat NUFAM harap peristiwa dan kesilapan yang lama tidak akan diulangi lagi oleh kerajaan hari ini.

Tengku Zafrul dalam penjelasannya baru-baru ini berkata, Malaysia bersetuju untuk membeli 30 lagi pesawat Boeing dari Amerika Syarikat bernilai $AS9.5 bilion sebagai komitmen memperkukuh hubungan perdagangan dua hala kedua-dua negara.

Langkah tersebut susulan rundingan yang membawa kepada pengurangan tarif AS ke atas Malaysia sebanyak 19 peratus berbanding 25 peratus.

Beliau berkata, pembelian pesawat berkenaan juga merupakan sebahagian daripada beberapa komitmen perdagangan Malaysia dalam rundingan tersebut.

Menurutnya, keputusan tersebut juga dibuat berdasarkan pertimbangan komersial dan keperluan jangka panjang industri penerbangan negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast