Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bercakap ketika ditemui wartawan pada Majlis Perasmian National Tax Conference 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 05 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Cadangan skim bayaran pencen secara bulanan untuk ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih lagi dalam peringkat kajian.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, KWSP sedang mengadakan perbincangan mengenai cadangan itu untuk memperhalusi pelaksanaannya secara lebih praktikal.

“Tetapi dari segi dasarnya, kalau kita boleh berganjak kepada sistem yang macam pencen di mana simpanan itu boleh bergerak dan dibayar bulanan.

“Itu mungkin lebih baik kerana menjamin pencarum mempunyai cukup simpanan apabila sampai masa dia bersara,” katanya kepada media selepas menghadiri Persidangan Percukaian Kebangsaan (NTC) 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bercakap ketika ditemui wartawan pada Majlis Perasmian National Tax Conference 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 05 OGOS 2025

 

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan sedang meneroka satu mekanisme baharu untuk memastikan pendapatan berterusan selepas persaraan melalui bayaran pencen bulanan berbanding sistem semasa yang membenarkan pengeluaran secara sekaligus apabila bersara.

Mekanisme itu akan membolehkan caruman KWSP dibahagikan kepada dua komponen iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan.

Melalui usaha ini, pekerja boleh mengeluarkan sebahagian daripada simpanan mereka sambil menerima bayaran pencen bulanan selepas bersara, menurut dokumen RMK13.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, antara isu utama yang dikenal pasti kerajaan adalah kecenderungan sebahagian pencarum menghabiskan wang simpanan dalam tempoh yang singkat apabila diberikan akses penuh sehingga menjejaskan simpanan hari tua.

“Kerana masalah yang kita nampak sekarang apabila mereka mendapat akses, ada kebanyakan juga yang cepat habiskan. Jadi bila zaman akhir hayatnya, dia tidak ada simpanan yang cukup.

“Jadi yang pentingnya kita hendak buat kajian dengan betul dan bila kita sudah dapat kelulusan, baru kita boleh buat,” katanya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diiring Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abu Tariq Jamaluddin dan Presiden Institut Cukai Bertauliah Malaysia, Soh Lian Seng merasmikan National Tax Conference 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 05 OGOS 2025

Sementara itu, Amir Hamzah turut mengulas mengenai pelaksanaan Perintah Menjelaskan Sumber Kekayaan ‘Unexplained Wealth Order’ (UWO) yang mana cadangan itu juga sedang diteliti lebih mendalam.

Beliau berkata, sebarang dasar baharu termasuk UWO perlu melalui proses penyelidikan dan pemahaman mendalam bagi menilai implikasinya kepada ekonomi serta rakyat secara keseluruhan.

“Kita tidak mahu melaksanakan sesuatu dasar yang akhirnya membawa kesan negatif atau tidak diingini.

“Apa yang penting ialah memahami implikasinya secara menyeluruh sebelum membuat sebarang ketetapan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast