KUALA LUMPUR – Pemain industri acara perniagaan dari dalam dan luar negara berhimpun di MITEC bermula semalam sempena Minggu Acara Perniagaan Malaysia 2025 (MBEW 2025) edisi ke-10 anjuran Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB).
Disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, acara yang berlangsung dari 4 hingga 6 Ogos ini mengangkat tema unik “Menambah Rencah Dalam Acara Perniagaan”.
MBEW 2025 menjadikan warisan kulinari Malaysia sebagai gambaran elemen kejayaan dalam penganjuran acara iaitu kayu manis simbol perancangan, bunga lawang untuk pelaksanaan, cengkih bagi jaringan dan pelaga lambang inovasi.
“Seperti rempah yang memberi kepelbagaian dan keistimewaan kepada masakan kita, begitu juga industri acara perlu disemarakkan dengan kreativiti dan daya cipta,” kata Pengerusi MyCEB, V. Sivakumar.
Sepanjang program pelbagai acara dijalankan antaranya sesi padanan perniagaan eksklusif membabitkan 40 organisasi pempamer dan 40 pembeli jemputan selain menarik lebih 450 delegasi tempatan dan antarabangsa.
Sementara itu, sesi rangkaian SPICE Market menyerlahkan keunikan budaya perdagangan zaman Kesultanan Melaka, di mana para peserta mengalami suasana berdagang ala abad ke-15 dengan menggunakan token “MyCurrency”.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing, edisi ke-10 bukan sekadar meraikan perjalanan organisasi itu tetapi menyerlahkan manifestasi tentang apa yang boleh dicapai jika bersatu dan saling melengkapi.
MBEW 2025 turut menyusun program inspirasi seperti sesi perkongsian oleh pakar industri serantau dan global mengenai trend terkini dan kajian kes.
Turut diadakan aktiviti kesihatan termasuk pemeriksaan kesihatan, terapi bahu oleh tukang urut OKU penglihatan dan latihan CPR dengan kerjasama Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia. – MalaysiaGazette















