KUANTAN – Tindakan Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahan analogi ‘lembu betina’ oleh Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran baru-baru ini disifatkan sebagai tidak masuk akal.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim berkata, tindakan itu tidak mencerminkan beliau sebagai individu berilmu kerana ia secara terang-terangan menghina wanita.
“Islam tak pernah ajar kita rendahkan wanita. Malah, Islam angkat tinggi martabat wanita sebagai pemimpin, pendidik dan pejuang.
“Tapi Pas hari ni suka guna binatang dalam hujah sebab tak reti berhujah ikut ilmu. Lepas tu, bila orang marah, dia kata ‘mungkin ada yang terasa’. Ini bukan pasal terasa ke tak terasa ini soal maruah dan prinsip!,” tegasnya.
Mohd Kamil juga mengkritik tindakan pemimpin Pas yang menggunakan analogi dangkal dan tidak menunjukkan contoh tidak matang dalam berpolitik.
Tegasnya lagi, tindakan Pas menunggang isu-isu seperti itu nyata merosakkan politik selain merendahkan nilai kemanusiaan dan ia perlu dihentika .
Semalam, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahankan kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi menyamakan wanita yang memegang jawatan kepimpinan dengan “lembu betina”.

Menurut Tuan Ibrahim, kenyataan itu perlu difahami sebagai satu bentuk analogi biasa dalam penulisan, dan bukannya bertujuan menghina wanita.
“Saya tidak nampak apa yang seksisnya pada kenyataan tersebut. Ia (merupakan) satu analogi daripada perspektif dia (Muhammad Salman), bukan (satu bentuk) merendahkan martabat wanita pun. Cuma, mungkin ada pihak yang terasa,” katanya memetik laporan sebuah portal berita. – MalaysiaGazette
















