KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak Jumaat ketika keluar bersendirian ke Bukit Tabur, Taman Melawati, di Selangor, masih belum menemui sebarang petunjuk baharu setakat petang tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, operasi SAR yang memasuki hari keempat telah diperluaskan melibatkan kawasan lebih jauh dari lokasi awal lelaki tersebut dipercayai hilang.
“Setakat petang ini, masih tiada sebarang petunjuk yang membawa kepada penemuan mangsa.
“Kita menamatkan operasi sekitar pukul 6.30 petang tadi dan operasi hari ini turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan kekuatan seramai 80 anggota,” katanya ketika dihubungi media.

Jelasnya, keadaan cuaca turut menyukarkan operasi SAR yang dijalankan sejak awal pagi tadi.
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan, mangsa, Norhafsham Nazri, 43, yang disahkan sebagai OKU mental dikatakan dihantar oleh bapanya ke Kampung Warisan sekitar jam 2.30 petang untuk berehat.
Namun, sehingga jam 9.30 malam, mangsa tidak pulang ke rumah.

Ketika keluar, mangsa memakai baju t-shirt leher bulat berwarna hitam dan merah, berseluar jeans gelap, kasut sukan serta membawa beg galas berwarna hitam.
Berdasarkan pencarian awal penduduk kampung pada Sabtu, mereka menjumpai satu beg galas dipercayai milik lelaki tersebut di lokasi susur menaiki Bukit Tabur Taman Melawati. – MalaysiaGazette
















