Gambar : IPD Kuantan

KUANTAN – Seorang lelaki maut apabila basikal dinaikinya dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Besar, berhadapan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini .

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1 petang tadi.

“Siasatan awal mendapati kenderaan MPV jenis Perodua Alza dipandu seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun sedang bergerak lurus dari arah Bandar Kuantan menghala ke Tanah Putih di lorong kanan.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah basikal ditunggang mangsa telah melintas dari kanan ke kiri jalan secara tiba-tiba dan menyebabkan berlaku perlanggaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan kemalangan itu, beliau berkata mangsa, Mohd Nazrul Shairil Husin yang bekerja sendiri dan beralamat di Tanjung Api mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke HTAA untuk diberikan rawatan.

Bagaimanapun, Mohd Adli memaklumkan, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 5.50 petang ketika sedang diberikan rawatan.

Katanya, pemandu MPV itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu dan siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa yang tidak memastikan keadaan laluan selamat sebelum melintas jalan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan pihak polis sedang mengesan saksi yang melihat kejadian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast