KUALA LUMPUR – Sejarah Asia perlu dilihat melangkaui naratif penjajah, oleh itu penting untuk memahami sejarah dari perspektif pemimpin tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sumbangan individu seperti Tipu Sultan dari Mysore, India dan bapanya, Haider Ali, sebagai pejuang terhadap perluasan penjajah British menunjukkan keberanian, keilmuan dan toleransi.
Menurutnya, pejuangan mereka menentang perluasan kuasa penjajah British membuktikan betapa pentingnya memahami sejarah daripada perspektif pemimpin tempatan dan serantau, bukan semata-mata melalui catatan Barat.
“Kerana sejarah Malaysia, seperti sejarah-sejarah lain, sering ditulis dari perspektif British yang pada asasnya adalah pemerintahan kolonial Barat. Sudah tentu, terdapat banyak catatan akademik, termasuk oleh Edward Said mengenai orientalisme, tetapi cara keseluruhan disiplin sejarah, budaya dan masyarakat sering ditekan oleh pandangan Barat tertentu.
“Dalam pembinaan semula sejarah ini, ia juga adalah usaha untuk memahami modeniti di dunia Melayu, tidak semestinya selepas pemerintahan kolonial British.
“Begitu juga, jika kita memahami sejarah India, kita dapat melihat sumbangan besar para pemerintah di India yang telah memajukan ilmu pengetahuan, pembelajaran, dan toleransi.
“Saya merujuk kepada perkara ini ketika saya melawat Mysore sekitar sedekad yang lalu, dan ketika itu, saya agak terkejut dengan saiz kecil Istana Sultan Mysore ini,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap bagi menyempurnakan pameran ‘Ngauman Harimau Mysore : Warisan Haider Ali dan Tipu Sultan (1761 – 1799) di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) di sini, hari ini.
Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Pengerusi Yayasan al- Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary dan isteri, duta – duta besar ke Malaysia.
Pameran Kesenian Islam yang berlangsung dari 6 Ogos 2025 hingga 11 Januari 2026 itu mengangkat warisan luar biasa dua tokoh penting dalam sejarah India Selatan, Haider Ali dan anakandanya Tipu Sultan semasa pemerintahan kerajaan Islam Mysore yang terkenal pada akhir abad ke-18.
Menerusi Ngauman Harimau Mysore, pengunjung dapat menyelami kekayaan sejarah dan perjuangan Haider Ali dan Tipu Sultan melalui paparan artifak, manuskrip, senjata, tekstil dan karya seni yang meneroka simbolisme dan ideologi, khususnya penentangan kolonialisme dunia Syarikat Hindia Timur Inggeris pada ketika itu.
Sementara itu, menurut Kurator dan Pengarah Projek MKIM, Zulkifli Ishak, legasi artifak 200 tahun yang dibawa dari United Kingdom itu tidah pernah dipamerkan di mana-mana negara luar secara umum sejak 1799.
Katanya, sebanyak 100 artifak dari sejarah Haider Ali dan Tipu Sultan telah dikumpulkan oleh MKIM sejak 20 tahun lalu.
“Orang ramai boleh menyaksikan pameran istimewa ini, selain menyertai pelbagai bengkel serta sesi perkongdian oleh kurator dan pakar konservasi dari India dan United Kingdom dengan kemasukan adalah percuma sepanjang tempoh pameran,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















