Bangunan Wisma Putra Kementerian Luar Negeri di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Setakat ini tiada sebarang persetujuan telah dimuktamadkan antara Malaysia dan Indonesia berhubung kebarangkalian pembangunan bersama di Laut Sulawesi.

Kementerian Luar Negeri berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan awal.

Menurutnya, perkara ini telah diperjelaskan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Luar Negeri di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen.

Menurutnya, Malaysia kekal komited dalam melindungi kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingannya selaras dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (KUUL 1982).

Oleh itu, sebarang perbincangan berhubung perkara-perkara di atas dilaksanakan melalui mekanisma diplomatik, berasaskan perundangan dan teknikal yang ditetapkan di bawah kerangka dua hala sedia ada.

Kementerian Luar Negeri, katanya, akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan, termasuk Kerajaan Sabah, bagi memastikan kepentingan Malaysia sentiasa terpelihara dan dilindungi.

Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2002 yang memutuskan kedaulatan Pulau Sipadan dan Ligitan kepada Malaysia turut mengukuhkan lagi pendirian Malaysia ke atas kawasan maritim negara di Laut Sulawesi.

Mohamad berkata, Malaysia merujuk kepada kawasan maritim yang merangkumi Blok ND6 dan ND7 yang terletak dalam Peta Baru Malaysia 1979 sebagai Laut Sulawesi dan bukan “Ambalat” seperti yang digunakan oleh Indonesia.

Malah, beliau menegaskan penggunaan sebarang istilah mestilah tepat dan mencerminkan kedaulatan serta hak perundangan Malaysia ke atas kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast