MELAKA – Kekecohan berlaku di ruang Kaunter Balai Polis Kompleks Mahkamah Melaka hari ini apabila dua wanita dipercayai ahli keluarga orang kena tuduh (OKT) kes samun rokok dan wang tunai menggunakan pisau menolak dan cuba menghalang petugas media yang membuat liputan kes itu.
Keadaan tegang berlaku ketika dua ahli keluarga terbabit wanita berusia 20-an dan 40-an turut mengekori belakang OKT ketika dua jurukamera media rasmi yang berdaftar dengan Kementerian Dalam Negeri merakamkan visual tertuduh, Amirul Hamry Hambalyi Azahari, 27, dibawa anggota polis dengan kebenaran mahkamah.
Bagaimanapun, sebaik tiba di ruang legar hadapan kaunter balai polis untuk membawa tertuduh ke dalam lokap, wanita berusia 20-an terbabit tiba-tiba mendekati jurukamera stesen televisyen berpengalaman 20 tahun menyentuh bahu meminta rakaman dihentikan.
Turut dihalang adalah seorang lagi wartawan dan jurukamera akhbar rasmi yang berpengalaman hampir 30 tahun membuat liputan berita jenayah dan mahkamah.
Sebelum itu, menerusi rakaman wanita muda terbabit juga dilihat cuba memintas polis yang mengiring tertuduh disyaki untuk menghalang media daripada menjalankan tugas rasmi.
Kedua-dua wanita itu cuba melakukan provokasi mendakwa kononnya mempunyai jawatan sebelum keadaan kecoh hampir dua minit itu ditenangkan anggota polis bertugas. – MalaysiaGazette
















