Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) memberi jaminan untuk memastikan badan kehakiman terhindar daripada serangan tidak wajar agar integritinya terus terpelihara.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, agensi itu terlibat secara aktif dalam pembaharuan kehakiman yang bertujuan untuk meningkatkan kebebasan dan kecekapannya.

“Selaku pegawai mahkamah, tugas kami bukan untuk mendapatkan sabitan tetapi untuk memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan,” ujarnya.

Beliau berucap pada Majlis Penghormatan Ketua Hakim Negara ke-17, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Istana Kehakiman hari ini.

Ujar Mohd, Dusuki, badan kehakiman dan AGC saling menghormati dan melaksanakan tanggungjawab bersama.

Kata Peguam Negara, walaupun berkhidmat dalam kapasiti berbeza, pegawai-pegawai agensi itu bersatu dengan tujuan yang sama iaitu untuk menegakkan undang-undang dan berkhidmat untuk negara.

Beliau berkata, badan kehakiman memainkan peranan penting dalam memastikan cabang eksekutif dan perundangan beroperasi dalam had perlembagaan mereka, sekali gus mengekalkan sistem semak dan imbang.

Dalam pada itu, Presiden Badan Peguam Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab dalam ucapannya berkata, Ketua Hakim Negara memainkan peranan amat penting bukan sahaja dalam menguruskan pentadbiran kehakiman, tetapi juga dalam menetapkan nada, arah dan budaya integriti dalam institusi kehakiman.

“Dalam zaman di mana pelbagai bentuk tekanan politik, ekonomi dan sosial mencabar asas demokrasi dan kedaulatan undang-undang, kepimpinan yang berani dan berprinsip adalah kunci utama kepada kelangsungan sistem kehakiman yang dihormati.

“Badan Kehakiman berperanan sebagai penjaga kepada Perlembagaan Persekutuan dan melindungi hak asasi setiap rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast