KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperhebatkan usaha membanteras pembuangan sampah secara haram di luar kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pelbagai pendekatan strategik.
Ia termasuk penggunaan teknologi pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bersepadu.
Menjawab soalan tambahan Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok- PN) di Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah memaklumkan KPKT melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu PBT memperkasa penguatkuasaan dan kawalan.
“Antara strategi kawalan yang dilaksanakan ialah kerjasama strategik SWCorp dengan MAISA untuk menjalankan cerapan lokasi yang disyaki menjadi tapak pembuangan sampah haram. Kita juga telah meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi panas yang dikenal pasti,” katanya.
Beliau turut menjelaskan pemantauan secara berkala turut dijalankan oleh pasukan penguat kuasa SWCorp yang melakukan intipan dan serbuan dari semasa ke semasa.
Dalam masa yang sama, kementerian juga menjalinkan kerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan serta pejabat tanah dan daerah bagi memastikan tindakan penguatkuasaan lebih menyeluruh dan berkesan.
“Sebagai contoh, di negeri Kedah sahaja, sebanyak 482 operasi penguatkuasaan dan penutupan tapak sampah haram telah dijalankan sepanjang tahun 2024. Sehingga Jun 2025, sebanyak 388 lagi operasi telah dilaksanakan,” katanya lagi.
Sementara itu, dalam jawapan lisan Mohd Nazri, kementerian juga memaklumkan tiada peruntukan khas secara langsung disediakan kepada Kerajaan Negeri atau agensi berkaitan bagi menguruskan sampah haram di luar kawasan PBT.
Sebaliknya peruntukan RM1.54 bilion di bawah Belanjawan 2025 telah disalurkan untuk pembiayaan operasi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672.
Negeri-negeri tersebut ialah Perlis, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, di mana pelaksanaan perkhidmatan turut merangkumi kutipan sampah, pembersihan awam dan penguatkuasaan termasuk pembersihan kawasan pembuangan sampah haram berdasarkan serahan oleh PBT.
KPKT turut menegaskan usaha membanteras aktiviti pembuangan sampah haram tidak boleh digalas oleh kerajaan sahaja sebaliknya memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak termasuk Kerajaan Negeri, agensi teknikal, PBT serta masyarakat setempat.
“Inisiatif dan teknologi pemantauan ini akan terus ditingkatkan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara melalui persekitaran yang bersih, selamat dan lestari,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















