Bukit Tabur, Taman Melawati Gombak. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 OGOS 2025

 

AMPANG – Lelaki orang kurang upaya (OKU) mental, Norhafsham Nazri, 43, dikatakan  individu yang paling lama dilaporkan hilang di sekitar kawasan Kampung Warisan, Taman Melawati, dekat sini.               

Mazlan Jamaludin, 43, yang menetap di Kampung Warisan lebih 30 tahun berkata, selalunya orang hilang di kawasan itu dua atau tiga hari, sebelum berjaya ditemui semula.

“Kejadian kali ini menjadi satu cabaran baharu kerana mangsa sudah enam hari dilaporkan hilang, sejak Jumaat lalu, dipercayai mempunyai unsur mistik.

“Sebelum ini pernah berlaku (hilang) tapi cuma tiga hari paling lewat (ditemui).

“Secara normal mungkin kita rasa macam tidak logik (mistik), tapi bagi saya ia betul sebab sebelum ini saya pernah selamatkan mangsa yang ditemui tersangkut atas batu kalau secara logik kita tidak boleh sampai di situ,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Mazlan Jamaludin

 

Walaupun tempat itu sudah ditutup untuk pendakian dan pendaki perlu mendapatkan permit dari Jabatan Perhutanan, namun dakwanya, lokasi itu masih kerap dikunjungi orang awam dan ada yang melakukan aktiviti tidak bermoral.

“Bagi saya apabila kita memasuki sesuatu kawasan, perlu ada sikap menghormati dan tidak boleh mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya seperti pepatah ‘kerana mulut badan binasa’.

“Bila masuk di sini (Bukit Tabur) jangan cakap berani sangat atau mencabar, dan saya juga tidak galakkan adanya unsur syirik atau paranormal di dalam hutan demi kandungan media sosial kerana mengundang kepada perkara tidak diingini,” ujarnya.

 

Muhammad Faiz Mazlan

 

Tambah Mazlan, sepanjang pencarian Norhafsham yang bermula Sabtu lalu, anaknya Muhammad Faiz Mazlan,34, juga turut serta dalam operasi itu dan berhadapan dengan pelbagai cabaran berkait mistik.

Bagaimanapun, Mazlan berkata, pihak kampung akan membantu mencari Norhafsham supaya mangsa segera ditemukan walaupun operasi pencarian telah dihentikan sekali gus memberi kelegaan kepada ahli keluarganya yang setia menunggunya.

Pada Sabtu lalu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismai dilaporkan berkata, Balai Polis Taman Melawati menerima laporan jam 1.04 tengah hari kelmarin daripada lelaki warga emas berusia 69 tahun.

Katanya, pengadu yang juga bapa mangsa mengatakan pada 1 Ogos lalu jam lebih kurang 2.30 petang, dia menghantar anaknya, Norhafsham Nazri, 43, ke Kampung Warisan Taman Melawati untuk berehat.

Pada hari yang sama jam 9.30 malam, pengadu mendapati mangsa masih belum pulang ke rumah, pengadu pergi ke Kampung Warisan untuk mencari anaknya namun tidak dijumpai.

Mohd Azam menambah, hasil pencarian awal penduduk menemukan sebuah beg galas dipercayai milik mangsa di laluan pendakian Bukit Tabur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast