KUALA LUMPUR – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis dan memiliki senjata berbahaya dalam kejadian di Wangsa Maju, minggu lalu.
Yap Thye Sun, 56, meminta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa cuba membunuh seorang anggota polis, Koperal Mohd. Nazri Sudiman dengan menikam mangsa di bahagian perut menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan serius dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari, 31 Julai lalu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi jalan pusingan U Jalan Yew, Wangsa Maju, di sini dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Tikaman itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan sehingga usus terkeluar yang berisiko menyebabkan kematian.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Thye Sun didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau sepanjang 21.5 sentimeter berhulu kayu tanpa alasan yang sah di lokasi dan masa sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nidzuan Abdul Latif tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan itu serius.
Ujarnya, sekiranya mahkamah memberikan jaminan terhadap tertuduh, dia berisiko tinggi melarikan diri.
“Kes ini melibatkan kecederaan serius terhadap seorang anggota polis sehingga usus mangsa terkeluar akibat tikaman,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 2 September ini sebagai tarikh sebutan kes. – MalaysiaGazette















