KUANTAN – Seorang peniaga wanita di Cameron Highlands dekat sini rugi lebih RM300,000 wang simoanannya akibat terpedaya dengan tawaran pelaburan atas talian Deepseek.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang berusia 53 tahun pada mulanya tertarik dengan iklan pelaburan itu yang dilihat di aplikasi Facebook pada 30 April lepas.
“Mangsa kemudian berhubung dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Serena’ melalui aplikasi WhatsApp dan dimasukkan ke dalam satu kumpulan dikenali sebagai Black Horse Growth Plan.
“Bagi menyertai skim pelaburan tersebut, mangsa diminta memuat turun aplikasi yang dikenali sebagai Phgmax,” katanya dalam kenyataan.
Yahaya berkata, mangsa telah melakukan sebanyak 22 transaksi pemindahan wang secara berperingkat ke tujuh akaun bank berbeza antara 2 Jun hingga 23 Julai dengan jumlah keseluruhan RM335,400.00.
Jelasnya, mangsa tidak merasa curiga ketika itu kerana berdasarkan paparan dalam aplikasi tersebut, mangsa kononnya memperoleh keuntungan pelaburan berjumlah RM4.8 juta.
“Namun bagi tujuan pengeluaran, mangsa diminta untuk membayar komisen sebanyak 12 peratus atau RM221,670,” tambahnya.
Ketika itu, mangsa mula mengesyaki dirinya telah ditipu apabila didesak membuat bayaran tambahan lalu membuat laporan polis.
Justeru, Yahaya menyeru orang ramai agar berwaspada dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, khususnya yang diiklankan melalui media sosial. – MalaysiaGazette
















