Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail melihat replika unit perumahan selepas Majlis Perasmian Dan Pecah Tanah Pembangunan Unit Rumah Residensi Aman Madani di Bandar Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengarahkan pemaju hartanah Projek Residensi Aman Madani menyediakan semula kertas kerja perancangan pembangunan dan memastikan semua keperluan asas dipenuhi sebelum projek diteruskan sepenuhnya.

“Satu blok boleh diteruskan, satu lagi saya arah tangguh sehingga syarat-syarat ini dipenuhi. Saya tidak kisah jika ada yang tidak senang dengan teguran saya.

“Negara ini hanya boleh berubah jika kita semua ubah sikap dan melaksanakan tanggungjawab. Ini projek besar dan pemaju perlu memberikan kerjasama,” tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Majlis Pecah Tanah Residensi Aman Madani di Bandar Tasik Permaisuri di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Dan Pecah Tanah Pembangunan Unit Rumah Residensi Aman Madani di Bandar Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 OGOS 2025.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Anwar juga mengulangi arahannya supaya setiap projek perumahan berskala besar perlu mengambilkira keperluan asas rakyat dan infrastruktur menyeluruh.

Menurut beliau, pemaju hartanah tidak boleh hanya menumpukan kepada pembinaan unit kediaman semata-mata sebaliknya perlu menyediakan prasarana lengkap seperti sekolah, tadika, pusat kesihatan dan kemudahan bagi menjamin kesejahteraan penduduk.

Beliau membuat teguran itu susulan aduan dan pemerhatian berhubung kesukaran rakyat berpendapatan sederhana termasuk mereka yang bergaji RM3,000 ke bawah untuk mendapatkan akses kepada kemudahan asas terutama pendidikan.

Arahan saya jelas, projek perumahan bertingkat di bandar mesti ada sekolah vertikal termasuk kemudahan pra sekolah. Saya kurang puas hati mengenai aspek pendidikan dalam projek-projek baharu. Projek berskala besar harus memenuhi konsep pembangunan MADANI.

“Kalau sekolah jauh, tadika tidak ada,  bagaimana ibu bapa hendak urus anak-anak? Ini bukan soal kecil. Semua ini mesti diberikan perhatian serius,” katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, keperluan membina sekolah vertikal tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melengahkan pelaksanaan atau penyempurnaan projek-projek perumahan.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu prihatin terhadap keperluan rakyat khususnya miskin bandar dan B40.

“Mungkin mereka tidak ada keupayaan untuk membuat tuntutan, jadi negara ini perlu ubah sikap, fokus kepada golongan yang tersisih dan memenuhi semua keperluan selaras dengan konsep Madani,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast