KUALA LUMPUR – Polis membuka dua kertas siasatan berhubung insiden tragis melibatkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang terjatuh ke dalam sistem pembetungan berhampiran Jalan Wong Soon Kai, di Sibu, petang Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian atau pendedahan terhadap bahaya yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi kepada kanak-kanak.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, kertas siasatan juga dibuka dengan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Menurut Zulkipli, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 11.09 malam Isnin daripada pegawai perubatan Hospital Sibu yang memaklumkan mengenai kematian seorang kanak-kanak tempatan.
Mangsa ditemukan oleh pasukan bomba di dalam sistem pembetungan berhampiran lokasi kejadian, sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.
“Semasa tiba di hospital, mangsa berada dalam keadaan basah, pucat dan tidak menunjukkan sebarang tanda hayat sebelum disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 6.29 petang berhubung kejadian.
Setibanya pasukan penyelamat di lokasi, mereka dimaklumkan oleh bapa mangsa bahawa anaknya hilang dan dipercayai terjatuh ke dalam lubang pembetung.
Difahamkan, mangsa sering menemani bapanya mengutip kotak terpakai di kawasan komersial berkenaan. Ketika kejadian, mangsa dipercayai keluar dari kereta untuk mencari bapanya sebelum terjatuh ke dalam pembetung yang tidak bertutup.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Mohd Adzmei Ahmad di talian 019-7192529 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















