Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said

 

 

JOHOR BAHRU – Pemimpin yang membandingkan pemimpin wanita dengan haiwan boleh disaman mengikut peruntukan undang-undang sedia ada

Justeru kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, semua pihak perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

“Kepada mereka yang berkenaan, jika anda masih membandingkan pemimpin wanita dengan haiwan pada tahun 2025, Tahniah!

“Anda mungkin telah melanggar beberapa peruntukan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574), sekadar ingatan mesra: Sekyen 509, Seksyen 504 dan Seksyen 298A.

“Jika anda membuat perbandingan menggunakan agama, Sekyen 507B yang baru? Sudah pasti! Hati-hati sebelum kena saman,” katanya hantaran dalam media sosial X hari ini.

Pada 3 Ogos lalu, Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi menerusi hantaran dalam media sosial menekankan kepentingan kepimpinan lelaki dalam masyarakat, sambil memberikan analogi berdasarkan pengalamannya menternak lembu selama lebih setahun.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian dalam menguruskan ternakan, lembu betina sering memimpin kumpulan ternakan tersebut termasuk menentukan lokasi meragut, masa berehat dan waktu pulang manakala lembu jantan hanya berperanan menjaga keselamatan kawanan.

Susulan kenyataan itu, pengasas Pertubuhan Kebajikan Bidadari Malaysia, Napsiah Khamis Maharan mengecam Muhammad Salman dan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai seksis, biadab serta mencerminkan pemikiran mundur yang membahayakan kemajuan masyarakat.

Semalam, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahankan Muhammad Salman itu dan berkata, kenyataan itu perlu difahami sebagai satu bentuk analogi biasa dalam penulisan dan bukannya bertujuan menghina wanita.

“Saya tidak nampak apa yang seksisnya pada kenyataan tersebut. Ia satu analogi daripada perspektif dia (Muhammad Salman), bukan merendahkan martabat wanita pun. Cuma, mungkin ada pihak yang terasa,” katanya.

Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin pula menegaskan kenyataan Salman itu merupakan pandangan peribadinya dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Pas.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast