KUANTAN – Seorang Ketua Balai Polis berpangkat Sarjan Mejar menukar pengakuan daripada tidak bersalah kepada bersalah terhadap 40 daripada 98 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,850 daripada beberapa individu, pada tahun 2021 dan 2022.
Pengakuan bersalah itu dibuat oleh Anuar Yaakob, 54, selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim Sazlina Safie di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini hari ini.
Susulan pengakuan yang dibuat tertuduh, Sazlina mengenakan hukuman denda sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh bagi kesemua 40 pertuduhan tersebut dan hukuman penjara 40 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebelum ini didakwa menerima benda berharga iaitu wang tunai berjumlah antara RM100 dan RM2,000 tanpa balasan daripada beberapa individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya melalui pindahan wang secara dalam talian ke akaun miliknya antara Januari 2021 sehingga Oktober 2022.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu sekitar Kuantan ketika bertugas di Bahagian Siasatan/Perundangan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dengan pangkat Sarjan dan Ketua Balai Polis Cherating sebagai Sarjan Mejar antara Januari 2021 sehingga Oktober 2022.
Anuar yang berkhidmat selama 33 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette
















