Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika hadir pada Majlis Menghormati Pelantikan Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 OGOS 2025

PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara ke-17, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bertekad untuk memelihara kebebasan badan kehakiman meskipun tidak mampu memadam sejarah termasuk bidang politik yang melingkari latar belakangnya.

Wan Ahmad Farid dalam ucapan sulungnya sempena pelantikan tersebut berkata, beliau menceburi pelbagai kerjaya dalam ketiga-tiga cabang kerajaan.

“Saya tidak boleh memadam sejarah, politik atau sebaliknya dan kini memikul amanah paling besar.

“Selagi saya menduduki kerusi ini, saya berikrar tanpa syarat atas lafaz Bismillahirrahmanirrahim bahawa saya akan bersungguh-sungguh melindungi dan tanpa henti menjaga kebebasan kehakiman dengan sepenuh hati, ” ujarnya.

Wan Ahmad Farid Wan Salleh beramah mesra bersama barisan hakim yang hadir pada Majlis Menghormati Pelantikan Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 OGOS 2025

Wan Ahmad Farid menyatakan demikian pada majlis meraikan pelantikannya sebagai Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman, di sini hari ini.

Beliau menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada usia 66 tahun awal bulan lalu.

Selain kerjaya perundangan, beliau juga aktif dalam bidang pentadbiran dan politik, pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2003 hingga 2008, sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2008 hingga 2009.

Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika hadir pada Majlis Menghormati Pelantikan Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 OGOS 2025

Antara tahun 2011 hingga 2015, beliau kembali ke bidang guaman sebagai peguam bela dan peguam cara di Tetuan Wan Farid & Surin, Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, beliau turut menyeru semua pihak bergerak ke hadapan demi masa depan badan kehakiman ke arah lebih berdikari, berdaya tahan dan cekap.

Beliau turut mengajak para hakim, pegawai kehakiman, warga Jabatan Peguam Negara (AGC) dan para peguam termasuk di Sabah dan Sarawak serta pemegang taruh supaya bekerja dan melakar masa depan bersama-sama.

“Saya berikrar untuk melakukan yang terbaik ke arah menjaga kebebasan kehakiman.

“Biar ia terus menjadi mesej yang kuat dan lantang kedengaran, bergema bukan sahaja di Istana Kehakiman dan mahkamah, malah di setiap lapisan masyarakat dan penjuru kuasa di negara ini,” ujar beliau.

Wan Ahmad Farid turut memberi peringatan bahawa salah satu penyumbang paling berpengaruh adalah kuasa tidak boleh tertumpu kepada satu pihak atau institusi.

Sebaliknya, ujar beliau kuasa itu berpecah dan terbahagi dalam kalangan cabang kerajaan untuk mencegah kezaliman dan melindungi kebebasan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast