PUTRAJAYA – Belanjawan 2026 yang dirancang akan terus menaikkan siling dan lantai berteraskan tatakelola baik dalam pentadbiran kerajaan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagi mencapai sasaran itu, langkah pertama dengan meningkatkan daya saing negara, sektor berpertumbuhan dan bernilai tinggi yang akan terus disokong terutamanya melibatkan industri semikonduktor, peralihan tenaga dan ekonomi Islam.
Menurut beliau, kerajaan juga akan terus mengupaya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat mula niaga agar menjadi pengeluar produk dan perkhidmatan buatan Malaysia.
“Agenda digital dan kecerdasan buatan terus diberi tumpuan selari dengan usaha membudaya daya cipta bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi berteraskan penciptaan nilai.
“Langkah kedua bagi menaikkan lantai dengan kerajaan kekal memberi tumpua untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan kepada rakyat selari dengan agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk mereformasi pendidikan dan kesihatan.
“Dengan kehadiran wakil pertubuhan kerajaan (NGO) serta persatuan sosial, kita dapat bersama-sama berikhtiar membantu rakyat termiskin secara holistik selain memperkasa jaringan perlindungan
sosial.
“Peningkatan pendapatan rakyat dan meringankan tekanan
kos sara hidup juga akan terus menjadi ikhtiar utama Kerajaan
dalam Belanjawan 2026,” katanya pada majlis libat urus Belanjawan 2026 di kementerian di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah menambah, negara ini terus dipimpin dengan tatakelola baik bagi memantapkan lagi perkhidmatan.
Menurut beliau, ia bagi mempercepat dan mempermudahkan urusan perniagaan yang memerlukan cadangan dan pandangan pelbagai pihak.
“Saya mengalu-alukan penglibatan aktif daripada semua pihak yang hadir dalam memberikan maklumbalas yang akan menjadi asas penting kepada penyediaan Belanjawan 2026.
“Saya berharap sesi hari ini menjadi medan strategik untuk kita bersama mencorak hala tuju masa hadapan negara dengan merumuskan input yang bernas demi merangka Belanjawan 2026 yang berimpak tinggi ke arah membangunkan Malaysia secara menyeluruh.
“Saya turut mempelawa semua yang hadir dan semua rakyat Malaysia untuk kemukakan cadangan dalam Portal Cadangan Belanjawan 2026 di laman web Kementerian Kewangan,” katanya.
Sementara itu, Belanjawan 2026 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim buat kali keempat pada 10 Oktober depan. – MalaysiaGazette
















