WARGA Bangladesh yang ditahan kerana didakwa cuba memasuki negara ini menerusi sindiket `counter setting'. - Foto: IHSAN AKPS

KUALA LUMPUR – Pasukan Pemantau Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya mematahkan percubaan membawa masuk seramai 26 warga Bangladesh secara tidak sah melalui sindiket counter setting semalam.

Unit Komunikasi Korporat (AKPS) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kesemua warga Bangladesh itu berjaya dipintas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 ketika tiba awal pagi semalam menerusi dua penerbangan dari Dhaka.

Menurutnya, kesemua mereka dipintas oleh Pasukan Pemantau AKPS sebaik sahaja keluar dari pesawat dan diiringi ke Pejabat Operasi AKPS KLIA 1 untuk proses semakan lanjut.

Foto IHSAN AKPS

“Hasil siasatan mendapati mereka tidak memenuhi syarat untuk memasuki Malaysia dan cuba memasuki negara ini menggunakan alasan yang meragukan.

“Pihak AKPS KLIA kemudiannya mengambil langkah pantas dan tegas dengan mengeluarkan arahan untuk kesemua mereka dihantar pulang ke negara asal pada penerbangan seterusnya,” katanya.

Tambah kenyataan itu, kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama erat antara Unit Risikan dan Pasukan Pemantau AKPS KLIA1 dalam mengekang kemasukan pelawat berisiko tinggi yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam negara.

“Tindakan tegas seperti ini akan diteruskan sebagai sebahagian daripada komitmen memperkukuh kawalan sempadan negara, khususnya di pintu masuk utama seperti KLIA,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast