Zambry menghadiri Simposium IEEE ke-32 di Universiti Sains Malaysia (USM) di Spice Arena Pulau Pinang, hari ini.

GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan Tinggi telah mengarahkan dua politeknik di utara tanah air menyemak semula kursus yang ditawarkan agar selari dengan keperluan industri semikonduktor yang semakin berkembang pesat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, dua institusi itu ialah Politeknik Balik Pulau dan Politeknik Kulim yang masing-masing terletak dalam kawasan ekosistem semikonduktor negara.

“Saya telah arahkan supaya kedua-dua politeknik ini melihat semula dan menyemak kursus yang ditawarkan. Ia perlu dirangka semula bagi memenuhi permintaan semasa dalam bidang semikonduktor,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Simposium IEEE ke-32 di Universiti Sains Malaysia (USM) di Spice Arena di sini hari ini.

Tambah Zambry, pembangunan sektor berteknologi tinggi termasuk semikonduktor memerlukan tenaga kerja berkemahiran dari semua peringkat pendidikan, bukan hanya universiti.

“Kita tidak mahu hanya bergantung kepada universiti semata-mata. Perubahan juga perlu berlaku di peringkat politeknik dan kolej komuniti yang berada dalam kawasan ekosistem semikonduktor ini.

“Langkah ini penting dalam usaha menjadikan Malaysia antara peneraju industri semikonduktor global dan memenuhi permintaan pasaran masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast