KUALA LUMPUR – Rayuan Peguam Negara untuk menghalang Datuk Seri Najib Razak meneruskan semakan kehakiman berkaitan titah adendum, akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Ogos ini.
Tarikh itu disahkan oleh peguam mewakili bekas Perdana Menteri, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, kepada pihak media hari ini.
Mahkamah tertinggi negara akan menentukan sama ada Peguam Negara dibenar mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Jika rayuan dibenar, usaha Najib untuk memaksa kerajaan mengemukakan dan melaksanakan titah adendum bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah, tidak kesampaian.

Pada 9 Julai lalu, panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim selesai mendengar rayuan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah kemudian menangguhkan keputusan pada satu tarikh lain.
Ketika berhujah, Muhammad Shafee antara lain menyatakan, Peguam Negara sepatutnya segera berterus-terang dari awal bahawa titah adendum wujud.

Hujah beliau, Peguam Negara sewajarnya melaksanakan kewajipan secara jujur (duty of candour) pada peringkat prosiding Mahkamah Tinggi sebaliknya bertindak membantah kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Najib.
Duty of candour merujuk kepada kewajipan bersikap jujur dan terbuka dalam semakan kehakiman untuk memberikan maklumat yang benar dan lengkap termasuk berkaitan dokumen kepada mahkamah berhubung fakta yang relevan dengan isu yang dipertikaikan.
Pada 2 Julai lalu, Mohd. Dusuki berhujah, Najib dan anaknya Mohamad Nizar tidak mengemukakan bukti munasabah berkaitan kewujudan titah adendum, walhal berpeluang berbuat demikian di peringkat permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Hujah beliau, Mohd. Nizar yang merupakan Exco Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, berpeluang mendapatkan titah itu kerana beliau kerap menghadiri mesyuarat dan pertemuan dengan Sultan Pahang.
Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan berpendirian, titah adendum daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu wujud yang membolehkan beliau menjalani baki tempoh hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Beliau kini menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang, Selangor selepas disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. – MalaysiaGazette
















