KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa merujuk kepada sumber berita tidak sahih ketika membuat kenyataan pada persidangan Dewan Rakyat.
Menurut Rosol, tindakan tersebut bukan sahaja tidak wajar malah mencemarkan kemuliaan institusi Parlimen apabila digunakan untuk menyerang pihak lain secara tidak berasas.
“Sukar diterima bagaimana seorang Perdana Menteri boleh merujuk sumber berita palsu dan tidak sahih, dan lebih buruk lagi cuba menjatuhkan seseorang dengan tuduhan berniat jahat, tambah buruk lagi dilakukan dalam Dewan Rakyat yang mulia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sebagai pemimpin tertinggi negara, Anwar seharusnya lebih bertanggungjawab dan berhati-hati sebelum mengemukakan sebarang dakwaan pada forum rasmi seperti Parlimen.
“Untuk PMTax, lain kali buat lah ‘extra homework’,” sindir Rosol.
Awal hari ini, Pengurusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Anwar untuk menarik balik kenyataannya dalam Parlimen pada Selasa lalu yang mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu mempertahankan hak warga asing dalam penyasaran subsidi RON95.
Sewaktu membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini, Muhyiddin, yang juga bekas Perdana Menteri berkata, beliau tidak pasti dari mana sumber yang dipetik, dan ia sama sekali tidak benar.
Atas dasar persahabatan, Muhyiddin turut meminta Anwar untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut, kerana pada beliau, sebagai seorang insan, semua pihak tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
Sewaktu sidang Dewan Rakyat pada Selasa, Anwar berkata, beliau menerima laporan ada ahli Parlimen daripada pembangkang yang mempertahankan hak warga asing dalam usaha penyasaran subsidi.
Susulan itu, Rosol bangkit meminta Perdana Menteri untuk mendedahkan identiti sebenar ahli Parlimen yang didakwa berbuat demikian.
Bagaimanapun Anwar berkata, Rosol sepatutnya membaca terlebih dahulu kenyataan yang didakwa daripada Muhyiddin berhubung perkara tersebut.
Malah Anwar turut mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat penafian Muhyiddin berhubung dakwaan mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON9. – MalaysiaGazette
















