KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima berhubung dakwaan Jalur Gemilang digantung terbalik di sebuah kedai serbaneka di Brickfields yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, semakan pihaknya mendapati Jalur Gemilang yang dipasang itu berada pada kedudukan biasa.
“Susulan video tular di media sosial berkenaan perkara itu, , semakan mendapati setakat ini tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian.
“Anggota polis turut digerakkan ke lokasi yang didakwa dan mendapati Jalur Gemilang yang dipasang di premis tersebut dalam keadaan normal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular hantaran di media sosial memaparkan Jalur Gemilang digantung dalam keadaan terbalik di sebuah premis di sini sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai yang rata-ratanya menggesa tindakan tegas diambil berhubung kejadian berkenaan. – MalaysiaGazette















