KENYATAN akhbar UMNO Negeri Sembilan berkenaan kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

KUALA LUMPUR – UMNO Negeri Sembilan menolak dakwaan parti itu hanya `parti tambahan’ atau sekadar `menyorok di bawah ketiak’ Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.

Sebaliknya, menurut Ketua Penerangannya, Datuk Ismail Lasim, UMNO adalah salah satu teras penting yang menyumbang kepada kestabilan, kesinambungan dasar dan kekuatan politik kerajaan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling berkata, peranan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan juga bukan bersifat kosmetik, tetapi bersifat strategik dan substantif.

Sebagai parti yang mempunyai sejarah panjang dalam pembinaan negara, ujarnya, UMNO membawa pengalaman, jaringan akar umbi yang kukuh serta pemahaman mendalam terhadap keperluan rakyat pelbagai lapisan khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar.

Tambah beliau, ia menjadikan UMNO bukan sahaja relevan, malah penting dalam memastikan dasar kerajaan benar-benar berpaksikan rakyat.

Selain itu, tegasnya, UMNO juga memainkan peranan utama dalam memastikan semangat Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial terus dihormati dalam kerangka Malaysia MADANI.

“Kita menolak sebarang cubaan untuk meminggirkan suara atau peranan UMNO hanya kerana komposisi kerjasama politik yang lebih luas.

“Kerjasama bukan bermakna tunduk atau diam. Kerjasama bermakna saling melengkapi demi matlamat lebih besar: kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo menilai UMNO kini menjadi parti supplement kepada PH, selain menyifatkan parti itu itu akan terus ‘menyorok di bawah ketiak PH’.

Dalam masa sama, Mohamad Khir yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan bagaimana UMNO mampu menjadi parti dominan sekiranya bertanding dengan jumlah kerusi yang sedikit berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sementara itu, Ismail turut mengingatkan, tanpa penglibatan UMNO dan Barisan Nasional (BN), Kerajaan Perpaduan tidak akan wujud hari ini.

Sehubungan itu, katanya, suara dan peranan UMNO dalam setiap perbincangan dasar, penggubalan undang-undang dan penyusunan agenda pembangunan negara adalah sah dan wajar dihormati.

“UMNO adalah ‘rakan pengasas’ kepada struktur Kerajaan Perpaduan dan penggerak aspirasi kesejahteraan dan pembelaan rakyat masa kini.

“Paling penting, jika ada mana-mana pihak menyentuh beberapa perkara berkaitan agama, bangsa dan tanah air kita, UMNO tidak akan berdiam diri!” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast