KUALA LUMPUR – Sindiket kegiatan pengeluaran wang berjaya ditumpaskan dengan menahan 71 individu termasuk lapan lelaki warga asing dipercayai ‘keldai akaun’ dan merampas wang tunai lebih RM392,000 dalam serbuan Ops Khas Kad ATM.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sebanyak 59 serbuan di seluruh negara susulan laporan Pusat Responds Scam Nasional (NSRC) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
“Dalam serbuan yang dijalankan pada 29 hingga 31 Julai lalu, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah serbuan tertinggi iaitu 24 lokasi diikuti diikuti Pulau Pinang (11), Sabah (8), Perak (5), Pahang (4), Selangor (3) dan dua masing-masing di Negeri Sembilan serta Sarawak.
“Daripada 71 suspek yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 50 tahun melibatkan 55 lelaki dan lapan wanita tempatan termasuk lapan lelaki warga asing iaitu empat warga Bangladesh, satu masing-masing warga China, Nigeria, Myanmar dan Indonesia,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ, di sini hari ini.

Tambah beliau, dalam serbuan itu polis merampas 925 keping kad ATM pelbagai jenis bank, wang tunai bernilai RM392,266, 100 buah telefon, 32 keping simkad, 16 beg, dua buku cek kosong, satu mesin kira, serta satu resit cek bernilai RM90,961.24
Turut dirampas 55 dokumen iaitu butiran peminjaman,, salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), 10 fail mengandungi dokumen butiran peminjam wang, lima kenderaan pelbagai jenis, sebuah kotak, komputer riba, sebuah tablet dan sebuah mesin pencetak.

“Kita telah membuka 42 kertas siasatan mengikut Seksyen 420, 424, 424A dan 511 Kanun Keseksaan turut disiasat mengikut Seksyen 5(2), 15A(1)(b) dan 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
“Siasatan lanjut mendapati, kesemua suspek terlibat dalam beberapa sindiket penipuan seperti phone scam, pinjaman tidak wujud, ah long, dan pengurup atau pengirim wang tanpa lesen.
“Setakat ini, 16 individu daripada 71 yang ditahan sudah dituduh di mahkamah iaitu enam di bawah Seksyen Akta Kesalahan Kecil 1955 dan 10 lagi mengikut Seksyen 424A Kanun Keseksaan manakala baki 55 dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak terlibat sebagai ‘keldai akaun’ sama ada dengan meminjamkan akaun, menyewakannya atau menjadi runner kepada sindiket untuk mengeluarkan wang menggunakan kad ATM milik pihak lain kerana ia adalah kesalahan jenayah. – MalaysiaGazette
















