CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan empat pemimpin berpengaruh dunia bakal menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan.
Beliau berkata, kehadiran iaitu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump selain kemungkinan besar, Presiden China, Xi Jinping bersama Presiden Brazil, Lula Da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa bakal sidang itu menjadi satu perhimpunan bersejarah yang menghimpunkan pemimpin kuasa besar.
Menurut beliau, ketua-ketua negara ASEAN pastinya teruja dengan kehadiran mereka yang mampu memberi impak besar kepada rantau ini.
“Ia bakal menjadi satu perhimpunan yang menghimpunkan pusat kuasa dan pengaruh utama dunia.
“Kita amat menantikan kehadiran ketua-ketua kerajaan ASEAN serta rakan dialog kita termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan saya percaya Presiden Xi Jinping dari China.
“Selain itu, kita turut menerima petunjuk positif mengenai kehadiran Presiden Brazil, Lula da Silva, dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa yang masing-masing kini memegang jawatan Presiden BRICS dan G20.
“Ujian yang lebih besar adalah kita mahu memastikan mereka meninggalkan Malaysia dan ASEAN dengan memberi manfaat sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Sambutan Hari ASEAN ke-58 di sini hari ini.
Minggu lalu, Anwar mengumumkan Trump telah mengesahkan akan hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada Oktober depan.
Beliau berkata, pengesahan itu dibuat dalam perbualan telefon bersama Trump semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen.
Sebelum ini, Anwar dilapor menyampaikan jemputan rasmi kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober.
Jemputan itu disampaikan melalui Setiausaha Negara AS, Marco Rubio yang melakukan kunjungan hormat ke atas Anwar di Bangunan Parlimen pada 10 Julai lalu.
Sementara itu, Hari ASEAN disambut setiap tahun pada 8 Ogos bagi memperingati penubuhan ASEAN pada 1967 apabila Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand menandatangani Deklarasi ASEAN (Deklarasi Bangkok).
Lebih daripada sekadar satu tarikh dalam kalendar, Hari ASEAN melambangkan komitmen berterusan negara Asia Tenggara terhadap keamanan, kemajuan dan perpaduan.
Ia turut mencerminkan aspirasi kolektif rantau ini dalam pembangunan ekonomi dan sosial, kerjasama yang lebih mendalam serta identiti bersama berteraskan saling menghormati dan perpaduan.
Ketika Malaysia terus mengemudi ASEAN sepanjang baki tempoh kepengerusian 2025, beberapa siri dialog peringkat tinggi, mesyuarat menteri dan pertukaran budaya dijangka memperkukuh lagi matlamat Wawasan Komuniti ASEAN 2045. – MalaysiaGazette
















