KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara berpendapat ada keperluan untuk siasatan lanjut kes kematian Allahyarham Zara Qairina diambil semula oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam satu kenyataan, pihaknya mahu PDRM memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
Sehubungan itu, laporan penuh siasatan awal telah dikembalikan semula kepada PDRM bersama beberapa arahan.
Arahannya termasuk keperluan untuk menggali semula mayat Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah.
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan PDRM memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina,” kata kenyataan Jabatan Peguam Negara.
Zara Qairina yang merupakan pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah didakwa terjatuh dari tingkat tiga dan ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada pukul 4 pagi, 16 Julai lalu.
Dia disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu. – MalaysiaGazette
















