Benjamin Sesko berusia 22 tahun.

LONDON – Manchester United dijangka untuk memperkenalkan penyerang baharu, Benjamin Sesko di hadapan penyokong di Old Trafford esok pada aksi persahabatan menentang Fiorentina.

Pemain kelahiran Slovenia itu sudah tiba di Manchester untuk menjalani pemeriksaan perubatan dan seterusnya menandatangan kontrak secepat mungkin.

Sesko sanggup mengetepikan sebahagian gajinya demi berpindah ke Old Trafford dengan menolak tawaran lebih lumayan daripada Newcastle United.

United dilaporkan bersetuju dengan pakej perpindahan bernilai 66.4 juta pound (RM372 juta) sebagai bayaran awal dengan tambahan 7.4 juta pound (RM41 juta) berdasarkan prestasi.

Newcastle menawarkan jumlah lebih tinggi kepada RB Leipzig, namun keinginan Sesko untuk menyertai United menjadi faktor penentu rundingan pantas minggu ini.

Sesko dilaporkan bakal menerima gaji 160,000 pound (RM896,000) seminggu dengan kenaikan kepada 200,000 pound (RM1.12 juta) seminggu sekiranya United layak ke Liga Juara-Juara.

Dia menjaringkan 39 gol dan membantu lapan lagi dalam 87 penampilan sejak berhijrah dari Red Bull Salzburg.

Musim lalu, dia meledak 21 gol dalam semua kejohanan bersama Leipzig.

Kehadirannya melengkapkan rombakan besar jentera serangan pengendali baharu Ruben Amorim selepas United mendapatkan Matheus Cunha dari Wolves pada harga 62.5 juta pound (RM350 juta) dan Bryan Mbeumo dari Brentford dengan nilai 71 juta pound (RM398 juta).

Langkah ini memberi tamparan hebat buat Newcastle, yang melihat Sesko sebagai pengganti Alexander Isak yang mahu berpindah ke Liverpool.

United pula terdesak mencari penyerang tengah selepas sasaran utama, Liam Delap, memilih Chelsea manakala Hugo Ekitike dan Viktor Gyokeres menyertai Liverpool serta Arsenal. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast