KUALA LUMPUR – Syarikat didakwa menjalankan skim pelaburan Nadia Holdings (L) Ltd melibatkan dana emas dan tunai bernilai puluhan bilion dolar Amerika Syarikat (AS) di luar negara didapati tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malasyia (SSM).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan perkara tersebut berkata, dalang utama yang juga pemilik syarikat skim pelaburan tahyul itu juga menggunakan gelaran Datuk Seri palsu.
“Kita telah menerima 43 laporan polis berhubung kes itu sejak 2013 dan sebanyak 15 kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM8,456,593.
“Kita juga sudah merakam 40 keterangan melibatkan 37 mangsa dan tiga saksi bagi membantu siasatan berhubung kes ini malah tiada tangkapan dibuat lagi,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ, di sini hari ini.
Tambah Rusdi, pelabur akan dijanjikan pulangan yang tinggi apabila dana tersebut berjaya dicairkan selepas modal mencukupi dikumpulkan bagi menampung kos pengurusan dan pengaktifan.
“Mereka diperdaya oleh individu dikenali sebagai ‘Datuk Seri’ Amaran Abu Bakar merupakan dalang utama skim pelaburan ini yang mendakwa menguruskan pewarisan harta milik seorang warga Indonesia di luar negara,” ujarnya.
Rusdi berkata, mangsa turut dipengaruhi melalui dokumen palsu kononnya dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, lengkap dengan logo, cop dan tandatangan palsu.
“Siasatan masih dijalankan bagi mendapatkan pengesahan daripada Bank Negara Malaysia berhubung dokumen itu dan sehingga kini, tiada pelabur menerima dana atau pulangan wang seperti dijanjikan.
Sebaliknya pelbagai alasan diberikan termasuk masalah teknikal di luar negara dan dokumen tamat tempoh, jelasnya.
Sebelum ini media melaporkan, seramai 57 individu mengalami kerugian hampir RM8.4 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tahyul membabitkan dana emas dan tunai didakwa bernilai puluhan bilion dolar Amerika Syarikat (AS) di luar negara.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kesemua individu terbabit adalah mangsa penipuan sebuah syarikat dimiliki seorang lelaki tempatan didakwa mempunyai gelaran Datuk Seri berusia 60-an. – MalaysiaGazette
57 individu termasuk pegawai bank rugi lebih RM8.37 juta, terpedaya Skim Pelaburan Tahyul
















