KUANTAN – Seorang pemotong rumput dikenakan hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah mengakibatkan kecederaan kepada anggota polis dengan menggunakan parang dalam kejadian pada 2 Ogos lepas.
Tertuduh, Muhamad Firdaus Abdul Hamid, 37 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ellyna Othman di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada tarikh tersebut didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap seorang anggota polis dengan menggunakan sebilah parang panjang dan dua bilah parang pendek di hadapan sebuah rumah di Felda Bukit Kuantan.
Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut kesalahan di bawah bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tiga anggota polis dari Balai Polis Panching ke lokasi kejadian pada pukul 3.12 petang pada tarikh tersebut berikutan terdapat laporan seorang lelaki kurang siuman (tertuduh) sedang mengamuk.
Bagaimanapun, ketika mententeramkan tertuduh, salah seorang anggota polis telah mengalami kecederaan akibat ditetak.
Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd. Azlan Mohd. Arish@Arshad, merayu agar mahkamah mengenakan hukuman minimum memandangkan anak guamnya tidak mempunyai tanggungan dan hanya memperoleh pendapatan harian sebanyak RM70.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Ahmad Mokhlis memohon agar hukuman setimpal dikenakan memandangkan kes membabitkan kecederaan ke atas penjawat awam semasa menjalankan tugas.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap tertuduh dan memerintahkan semua barang kes dilupuskan oleh pihak pendakwaan. – MalaysiaGazette















