KUANTAN – Victor Lee, lelaki yang dipercayai melarikan cip kasino bernilai RM3 juta dari kasino Genting Highlands, Bentong baru-baru ini telah melarikan diri ke luar negara.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman sambil menegaskan pihaknya akan terus menjejaki suspek.
“Kes kehilangan cip di Genting, suspek kita telah kenal pasti cuma masih dalam siasatan. Kita sudah keluar wanted list suspek yang kita kenal pasti mengikut rekod telah berada di luar negara dan telah melarikan diri.
“Kita akan dapatkan kerjasama dengan pihak Interpol, kita percaya dia bekas staf (kasino) tapi masih dalam siasatan lanjut. Polis juga sedang menyiasat jika sama ada dibuat pertukaran cip temasuk yang menjual atau menukar cip tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Serah Tugas kepada Ketua Polis Daerah Kuantan yang baharu, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan polis telah mengenal pasti seorang suspek warga tempatan berusia 44 tahun yang terbabit melarikan cip tersebut semasa berada di sebuah bilik kasino tertutup di premis berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang boleh membawa huiuman penjara selama tempoh minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebat dan oleh dikenakan denda.
Dalam perkembangan lain, Yahaya menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunggu hasil siasatan penuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap semua pegawai polis yang dicekup dalam kes suapan baru-baru ini.
Pihaknya tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas akan diambil selain siasatan dalaman juga akan dibuat.
“Mereka yang disabitkan kesalahan rasuah akan berdepan tindakan dibuang kerja kerana gagal menjaga integriti jabatan,” katanya.
Beliau mengingatkan kepada anggota dan pegawai PDRM agar tidak terjebak dalam amalan rasuah kerana menjejaskan kredibiliti polis dan mencalar imej PDRM.
“Saya sedia ambil tindakan kepada mereka yang terlibat, ia mencemarkan nama baik polis. Kami akan ambil tindakan dalaman daripada jabatan intergriti untuk mengambil tindakan kepada merska yang terlibat
“Kita masih menunggu siasatan di pihak SPRM, mereka semua dibebaskan dengan jaminan dan menunggu hasil siasatan penuh dan peringkat integriti pun kita jalankan siasatan.
“Jika mereka disabitkan dengan kesalahan mereka boleh dibuang kerja,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Polis kesan suspek larikan cip kasino Genting Highlands bernilai RM3 juta
















