KUALA LUMPUR – Sebanyak 24 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk lima notis kerana menjalankan perniagaan pelancongan tanpa lesen yang sah, dan tujuh notis atas kesalahan menggunakan kenderaan yang tidak dilesenkan untuk membawa pelancong.
Jumlah itu daripada 220 kenderaan pelancongan, 200 syarikat pelancongan, empat premis penginapan pelancongan dan 67 pemandu pelancong yang diperiksa dari tempoh 14 Julai hingga 3 Ogos 2025 melalui 35 operasi yang dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata, tindakan tegas akan dikenakan termasuk pendakwaan, kompaun, penggantungan atau pembatalan lesen.
Menurutnya, kementerian ini terus memperhebat usaha penguatkuasaan secara bersepadu di seluruh negara bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] dan Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 [Akta 594].
“Usaha berterusan ini penting dalam mewujudkan industri pelancongan yang selamat dan berintegriti, seterusnya menyokong misi Tahun Melawat Malaysia 2026. MOTAC juga menyeru agar semua persatuan pelancongan dan orang awam turut memainkan peranan dalam menjayakan agenda nasional ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Pada masa sama, MOTAC mengingatkan semua syarikat pelancongan berlesen hanya menjalinkan kerjasama dengan entiti pelancongan berlesen yang sah dan menggunakan kenderaan pelancongan yang dilesenkan sempurna oleh pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan pelancong.
Tegasnya, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya berlaku sebarang insiden atau pelanggaran peraturan.
Tambah kementerian ini, syarikat yang masih menjalankan aktiviti pelancongan tanpa lesen akan diberikan amaran agar segera mendapatkan lesen yang sah bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan. – MalaysiaGazette
















