Muhammad Rafique Rashid Ali

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyambut baik arahan Jabatan Peguam Negara untuk menggali semula kubur Zara Qairina Mahathir, 13 bagi tujuan siasatan.

Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid berkata, langkah itu mencerminkan keperluan siasatan menyeluruh yang memenuhi setiap aspek bagi merungkai insiden malang tersebut.

“Pejuang menggesa agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneliti semula segala arahan dari Jabatan Peguam Negara dan melaksanakan segala aspek siasatan dengan telus dan ikhlas,” katanya dalam kenyataan berbeza, hari ini.

Menurut beliau, undang-undang negara ini terpakai dan harus dikenakan secara adil ke atas semua pihak tanpa mengira darjat, kebesaran, pangkat, harta mahupun nama.

“Sekolah adalah tempat selamat bagi pelajar-pelajar dan seluruh masyarakat harus memastikan ianya selamat untuk semua. Peristiwa ini juga merupakan pengajaran pada semua sekolah-sekolah seluruh negara berasrama mahupun harian,” ujarnya.

Rafique berkata, Pejuang menyokong kerjasama rentas parti dan pertubuhan kebajikan untuk memastikan isu ini tidak disapu ke bawah karpet dan dilupakan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada “lautan manusia” yang hadir di seluruh Sabah demi solidariti membuktikan rakyat mahu keadilan dilihat dilakukan.

Mangsa pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar itu dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast