ROMPIN – Kemerdekaan yang sebenar bukan sekadar bebas daripada penjajahan luar tapi bebas daripada penjajahan minda, kebencian, hasad dengki dan perpecahan, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, sambutan Hari Kebangsaan adalah ruang untuk kita mengingat kembali sejarah perjuangan dan menyampaikan semangat kemerdekaan kepada anak-anak dan generasi muda.
“Jangan biarkan bulan kemerdekaaan berlalu begitu sahaja. Jadikan ia bulan untuk menyatukan, bukan memecahbelahkan.
“Jadikan ia bulan untuk bersyukur, bukan mengeluh. Jadikan ia bulan untuk menyumbang, bukan hanya menuntut,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Pahang di Dataran Muadzam Shah di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat mengibarkan Jalur Gemilang di setiap rumah, sekolah, pejabat, kedai serta jalan-jalan utama di seluruh bagi menyemarakkan semangat cintakan negara.
“Biarlah dari hujung Kampung Raja Cameron Highlands hingga ke Pulau Tioman, Jalur Gemilang dan bendera Negeri Pahang berkibar megah, melambai-lambai menyampaikan mesej kasih kita kepada tanah air,” katanya.
Tambahnya, tema Malaysia MADANI : Rakyat Disantuni bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini membawa nilai mendalam buat rakyat.
Mesej yang disampaikan mengingatkan kita agar kekal membina negara yang memelihara rakyatnya dengan penuh kasih, menghormati perbezaan dan mengangkat nilai-nilai murni dalam pentadbiran. – MalaysiaGazette
















