Peguam Kanan, Muhammad Hasif Hasan.

KUALA LUMPUR – Peguam kanan, Muhammad Hasif Hasan mempersoalkan sikap segelintir masyarakat yang berterusan menghina dan membuat tanggapan buruk terhadap pesalah kes dadah yang dibebaskan dari penjara.

Beliau turut merujuk kes melibatkan penyanyi wanita sohor Kelantan, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, yang baru dibebaskan dari Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, Thailand.

Katanya, pelbagai pandangan negatif diberikan orang ramai menerusi ruangan komen laporan berita berkenaan pembebasan Eda Ezrin itu sehingga ke tahap mencaci dan mengutuk penyanyi berkenaan.

Menurutnya, beliau memahami kemarahan masyarakat terhadap pelaku dalam kes dadah dan dadah sememangnya merupakan musuh utama kepada negara.

Namun, ujarnya, sama ada disedari atau tidak, tertuduh atau pelaku dalam kes dadah sebenarnya sudah dihukum oleh mahkamah termasuk meringkuk di dalam penjara mengikut tempoh diputuskan hakim.

“Tanpa dapat bertemu anak-anak, hidup terasing dan banyak lagi kesusahan yang dialami, adakah tidak cukup lagi hukuman yang telah dilalui pelaku?

“Adakah apabila kes selesai perlu lagi diungkit balik dan dilabel pelaku sebagai seorang pesalah,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menurut Muhammad Hasif, perjalanan hidup seorang tertuduh atau bekas banduan dalam masyarakat dilihat agak sukar kerana stigma orang ramai yang terus-menerus meletakkan kesalahan itu sebagai kekal dalam hidup mereka.

Sedangkan, ujarnya, setiap kesalahan itu boleh diperbaiki dan ramai pesalah atau bekas banduan yang telah insaf.

Beliau turut berkongsi pengalamannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) dan Ikon Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang mana stigma itu sering menghantui bekas penagih.

“Persoalan yang sering diutarakan oleh mereka berkisar tentang penerimaan masyarakat terhadap mereka setelah mereka bebas kelak.

“Apabila seorang penagih perlu berada di pusat pemulihan selama 2 tahun dan banduan bagi kes pemilikan dadah sudah berada di penjara selama 10 tahun dan disebat dengan 10 kali sebatan rotan, adakah belum cukup lagi bagi masyarakat melihat itu adalah hukuman bagi pesalah.

“Secara sinikal saya terfikir adakah semua pesalah patut dihukum mati baru masyarakat akan berpuas hati.

“Adakah perlu apabila keluar nanti mereka terus dihukum dengan dilabel dan dilihat sebagai seorang yang bermasalah dan membahayakan masyarakat,” katanya.

Tambah Muhammad Hasif, beliau percaya golongan itu memerlukan sokongan daripada masyarakat dan perlu dibimbing untuk menjadi baik, bukan dilabel atau dilihat dengan pandangan sinis.

Sehubungan itu, katanya, sudah tiba masanya masyarakat melihat bahawa apabila seorang pesalah telah dihukum oleh mahkamah dan telah selesai menjalani hukuman, mereka tidak perlu lagi dihukum oleh masyarakat.

“Kerana mereka juga seperti kita, ingin hidup aman dan bahagia,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast