Mohd Kamil Ibrahim

KUANTAN – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim menyarankan DAP untuk menganjurkan ‘Kursus Intensif Pasang Bendera Dengan Betul’ bagi memastikan insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik tidak lagi berulang.

Ini kerana menurut beliau, kesilapan dalam memasang Jalur Gemilang sudah terlalu kerap berlaku.

”Bulan kemerdekaan datang lagi dan seperti biasa, muncul juga ‘acara wajib tahunan’ (iaitu) bendera dipasang terbalik. Kalau ada pertandingan pasang bendera paling pelik, rasanya mereka dah juara bertahan.

”Jadi eloklah kalau DAP menganjurkan Kursus Intensif Pasang Bendera Dengan Betul, dibuat hujung minggu setiap bulan. Boleh siap bagi sijil kehadiran sekali.

”Kalau dulu mereka begitu bersungguh ajar kanak-kanak dan mak bapak nyanyi lagu ABCDGST, takkanlah nak ajar hormat bendera sendiri pun terasa berat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tegasnya isu pemasangan bendera terbalik bukan perkara remeh kerana Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain berwarna tetapi melambangkan maruah dan kedaulatan negara.

Mohd Kamil turut menempelak tindakan parti itu yang seolah-olah menggunakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menegakkan benang yang basah.

Lebih musykil katanya DAP sering mencipta alasan yang langsung tak masuk akal seakan rakyat tidak boleh berfikir dengan situasi yang berlaku.

”Kalau yang asas pun terbalik, jadi tiada benda yang boleh diharap pun daripada mereka semua ini.

”Dan satu lagi tolonglah, jangan nak pergunakan OKU sebagai bahan provokasi murahan. Bodoh sangat ke OKU sampai tak reti pasang bendera?” soalnya.

Terdahulu warganet mengecam tindakan dua lelaki dipercayai pekerja sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang yang bertindak memasang dan mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik selepas rakaman perbuatan itu tular di media sosial – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast