Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap ketika Perhimpunan Agung Dwi Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Bilangan ke-46 dan ke-47 di Dewan Seri Siantan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 OGOS 2025

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) yang diasaskan 50 tahun lalu tidak dijadikan organisasi politik tertentu.

Beliau berkata, walaupun keanggotaannya melibatkan banyak pihak termasuk pembangkang, namun Pemadam perlu memberi fokus kepada mengurangkan statistik penagihan, bukan menambah statistik aktiviti.

“Saya harap Pemadam tidak menjadi satu organisasi yang berpolitik walaupun banyak warna berbeza saya nampak di depan saya ini.

“Pemadam perlu membangun sistem sokongan pemulihan komuniti dan meningkatkan kehadiran digital sebagai medan utama pencegahan,” katanya berucap merasmikan Ulang Tahun Jubli Emas ke-50 di Dewan Sri Siantan, di sini, malam ini.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Perhimpunan Agung Dwi Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Bilangan ke-46 dan ke-47 di Dewan Seri Siantan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 OGOS 2025

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Yang Di Pertua Pemadam, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Ahmad Zahid juga berkata, ancaman rakyat Malaysia hari ini bukan lagi sekadar ganja atau heroin, sebaliknya dadah sintetik, bahan psikoaktif baharu dan pil khayal menjadi cabaran baharu.

“Lebih membimbangkan pengedaran secara senyap melalui algoritma TikTok, Telegram dan platform media sosial menjadi ancaman kita pada hari ini,” katanya.

Selain itu, katanya sasaran sindiket juga telah berubah, daripada remaja liar mahupun gelandangan di lorong gelap, kepada pelajar sekolah, mahasiswa universiti dan golongan profesional berkerjaya kini menjadi mangsa baharu.

“Lebih 65 peratus penagih baharu adalah remaja dan belia, manakala kajian menunjukkan golongan usia 19 hingga 39 tahun menyumbang sekitar 68 peratus dari jumlah keseluruhan penyalahgunaan dadah.

“Ini bukan sekadar data, ia adalah panggilan kecemasan bahawa generasi muda sedang terancam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sudah sampai masanya Pemadam melakukan pembaharuan dalam membanteras penyalahgunaan dadah sesuai dengan penjenamaan semula badan bukan kerajaan itu.

“Pemadam mesti mewujudkan pasukan komunikasi digital di setiap negeri serta melakukan pemerkasaan modul latihan dan advokasi untuk sukarelawan.

“Selain itu, Pemadam perlu melakukan pembangunan portal maklumat bersepadu dan aplikasi pintar serta  menjalinkan kerjasama strategik dengan pempengaruh dan komuniti media sosial,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast