HULU SELANGOR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan seorang lelaki yang cedera di bahagian tangan kiri selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti mendaki bukit di Lata Medang, Kuala Kubu Bharu (KKB), di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 9.46 pagi dan kemudian menggerakkan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KKB ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba melakukan pendakian ke lokasi mangsa dilaporkan cedera dan menjumpai lelaki berusia 45 tahun itu kira-kira 2.6 kilometer dari kaki bukit, jam 11.25 pagi.
“Pasukan JBPM dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjumpai mangsa yang terjatuh semasa melakukan aktiviti mendaki bukit.
“Mangsa merupakan lelaki Melayu mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, katanya, ketika ditemui, mangsa yang mengalami kecederaan ringan itu bagaimapun mampu berjalan sendiri dan berjaya dibawa menuruni bukit dengan selamat.
“Bagaimanapun mangsa dapat berjalan dan anggota Bomba dan APM mengiringi mangsa turun ke bawah,” katanya. – MalaysiaGazette
















