Gambar hiasan

 

Oleh: Profesor Madya Sr Dr. Irwan Mohammad Ali

SETIAP kali angin pagi berhembus, berkibarnya Jalur Gemilang menjadi pemandangan yang membangkitkan rasa bangga. Megah berkibar di bangunan sekolah, pejabat kerajaan, rumah kediaman, dan premis-premis perniagaan. Kombinasi warna biru, kuning, merah dan putih yang tersusun rapi pada setiap helai Jalur Gemilang melambangkan semangat perpaduan, kedaulatan, keberanian, kesucian dan kemerdekaan tanah air tercinta. Ia bukan sekadar selembar kain berjalur, tetapi simbol jati diri dan maruah rakyat Malaysia yang tiada galang gantinya.

Kini, bulan Ogos kembali menjengah. Bulan kemerdekaan yang dinanti saban tahun seharusnya menjadi detik untuk kita menyemarakkan semangat kebangsaan dan memperbaharui rasa sayang dan cintakan negara. Namun, dalam keghairahan menyambut bulan monumental ini, masih lagi kelihatan bendera yang koyak rabak, warna yang sudah pudar dan lusuh kainnya tetapi dibiarkan berkibar seolah-olah tiada siapa yang ambil peduli. Lebih mengecewakan, keadaan ini turut berlaku di premis kerajaan, yang sepatutnya menjadi teladan kepada rakyat umum.

Fenomena ini menimbulkan persoalan, adakah kita benar-benar memahami makna dan nilai Jalur Gemilang? Atau kita hanya menjadi patriotik secara bermusim dengan mengibarkan bendera ketika tiba bulan Ogos semata-mata, lalu melupakannya sebaik sahaja sambutan berakhir? Sikap sambil lewa terhadap penjagaan Jalur Gemilang adalah sesuatu yang mengecewakan. Ia seolah-olah mencerminkan betapa simbol negara tidak dihormati, sekadar hiasan fizikal semata-mata. Dalam sesetengah kes, ada bendera yang dibiarkan bertahun-tahun dalam keadaan sudah tidak sempurna dan tidak diganti.

Lebih parah lagi, baru-baru ini terdapat insiden Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik. Sama ada dilakukan dengan sengaja atau tidak disengajakan, tindakan ini meninggalkan kesan yang sangat sensitif. Dalam protokol antarabangsa, bendera yang dikibarkan secara terbalik dianggap sebagai isyarat kecemasan atau tanda protes. Justeru, apabila ia berlaku di dalam negara yang aman dan harmoni tanpa sebab yang munasabah, ia jelas mencemarkan maruah dan kedaulatan negara.

Sudah pasti, menjadi suatu kewajipan kepada setiap warganegara untuk meningkatkan sensitiviti terhadap penjagaan Jalur Gemilang. Pengibaran bendera bukanlah soal remeh yang boleh diambil mudah. Ia adalah lambang kedaulatan, perjuangan dan sejarah tanah air yang diperjuangkan dengan darah dan air mata generasi terdahulu. Apabila kita membiarkan Jalur Gemilang tidak dihormati, ia seolah-olah mencerminkan sikap tidak peduli kita terhadap perjuangan bangsa. Jelas, kita perlu memahami tatacara mengibarkan bendera dengan betul.

Bendera tidak boleh dibiarkan menyentuh tanah, tidak boleh digunakan sebagai alas meja atau pakaian, dan tidak boleh diubah suai sesuka hati. Ini bukan sekadar protokol, tetapi tanda hormat kepada simbol negara. Semua pihak, terutamanya agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, dan institusi pendidikan perlu menjadi contoh utama. Pemeriksaan berkala terhadap keadaan bendera yang dikibarkan perlu dilaksanakan. Bendera yang rosak atau dipasang dengan cara yang salah harus segera diturunkan dan diganti dengan yang baharu.

Dalam masa yang sama, pemilihan bahan dan kualiti bendera juga perlu dititikberatkan. Jangan hanya memilih bendera murah yang mudah koyak apabila terkena hujan dan panas dalam beberapa minggu sahaja. Pilihlah bendera yang tahan lasak, sesuai dengan keadaan cuaca tropika negara ini. Dalam pada itu, masyarakat awam juga harus dipupuk dengan kesedaran sivik dan tanggungjawab kolektif. Tidak kira sama ada bendera dikibarkan di rumah, pejabat, premis perniagaan, atau kenderaan peribadi, setiap rakyat harus memainkan peranan.

Jika bendera sudah pudar, koyak atau tidak betul, turunkanlah dan betulkan atau gantikan dengan yang baharu. Jangan menunggu sehingga ditegur baru mahu
bertindak. Jadilah rakyat yang bertanggungjawab, yang mencintai negara dengan sepenuh hati dan dibuktikan melalui tindakan dan penghayatan yang betul.

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar untuk menyambut bulan Kebangsaan. Ia sepatutnya menjadi simbol kebanggaan dan kehormatan negara sepanjang masa, bukan sekadar dalam bulan atau hari tertentu semata-mata. Janganlah semangat patriotik itu menjadi satu acara bermusim, yang timbul sebentar dan kemudian hilang mengikut kalender tahunan. Ironinya, kadangkala kemeriahan memasang Jalur Gemilang tidak sehebat pemasangan bendera parti politik sewaktu pilihan raya.

Akhir kata, marilah kita sebagai warganegara Malaysia yang berdaulat, memikul tanggungjawab bersama menjaga maruah Jalur Gemilang. Jangan biarkan ia berkibar lusuh di angkasa, bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga dari segi penghormatan dan penghayatan kita terhadap makna kebebasan dan kemerdekaan.

Setiap helaian bendera yang berkibar itu adalah saksi bisu kepada sejarah dan perjuangan bangsa. Ia adalah terjemahan kepada cita-cita bangsa yang telah
dibina bersama. Ayuh, kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan. Bukan kerana terpaksa, tetapi kerana benar-benar mencintai tanah air ini sepenuh hati.

Penulis merupakan pensyarah Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast