Fadillah dan Onn Hafiz selepas merasmikan Majlis Pengiktirafan Penggunaan Air Alternatif Bagi Industri Pusat Data di Negeri Johor di Doublethree by Hilton Hotel, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dengan kerjasama erat kerajaan Johor hari ini melakar sejarah baharu apabila memproses dan merawat air kumbahan untuk kegunaan industri terutama pusat data di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, melalui program itu Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd dan agensi bawah Petra akan membekalkan sehingga 12 juta liter sehari air kumbahan terawat untuk loji air pulih guna yang menyokong operasi pusat data di Johor.

“Sumber air kumbahan terawat berkenaan akan dibekalkan melalui sistem pengagihan bersepadu kepada Loji Air Pulih Guna di Bridge Data Centres (BDC) dan Computility Technology (Malaysia).

“Selain membekalkan sumber air alternatif lain kepada Dayone Data Centre Malaysia II Sdn Bhd,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Pengiktirafan Penggunaan Air Alternatif Bagi Industri Pusat Data di Negeri Johor di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, kerjasama kedua-dua kerajaan penting bagi menggalakkan pertumbuhan mampan pusat data di Johor tanpa memberi tekanan kepada bekalan air negeri.

“Jadi inilah salah satu untuk masa depan supaya air ini tidak dibuang begitu saja tapi akan dikitar semula dan digunakan untuk pemain industri,” katanya.

Fadillah berkata, usaha tersebut perlu dicontohi kerana tidak membazirkan sumber air tersebut begitu sahaja.

Beliau memberitahu, pembangunan industri pusat data di negeri itu dipantau oleh Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor yang berperanan memastikan pembangunan projek memberi fokus kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi menjimatkan elektrik dan penggunaan air.

Selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ini menjadi satu usaha penting dalam memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih mampan, berdaya tahan dan progresif.

“Inisiatif penggunaan air dipulih guna ini adalah sejajar dengan Keutamaan D6 Pemeliharaan Kesihatan Bumi RMK13 yang antaranya menekankan usaha mempelbagaikan sumber air secara mampan dan mengurangkan kebergantungan kepada air mentah,” katanya.

Ini juga, katanya, seiring dengan hala tuju Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR2040) yang mengiktiraf air dipulih guna sebagai sumber alternatif penting bagi sektor industri air.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast