Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 21 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dinasihatkan supaya tidak bersikap defensif dalam isu kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina yang mendapat liputan meluas.

Malah bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan Fadhlina supaya tidak menuding jari kepada spekulasi dan kerisauan yang disuarakan masyarakat.

Ia merupakan kebimbangan wajar dalam kalangan ibu bapa khususnya kerana melibatkan keselamatan anak-anak di sekolah, ujarnya.

“Namun sebagaimana PM (Perdana Menteri) beri komitmen untuk siasatan adil dan telus, saya berharap Menteri Pendidikan juga tidaklah perlu defensif dalam perkara ini kerana ini soal asas iaitu soal keselamatan anak-anak kita di sekolah.

“Kita tidak boleh menuding jari kepada ibu bapa atau yang membuat spekulasi dan sebagainya yang penting adalah kita menunjukkan bahawa kerajaan akan ambil tindakan serius dalam soal ini dan tidak memperkecilkan kebimbangan yaang isuarakan masyarakat,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu ketika Sesi Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Nik Nazmi, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu bersedia jika terdapat keperluan untuk melaksanakan anjakan dalam sistem pendidikan negara, sekali gus menjamin kesealamatan anak di sekolah yang perlu diutamakan.

“Isu buli kini mendapat perhatian yang sangat meluas dan sekiranya kita perlu ada anjakan dalam system pendidikan kita, maka kita perlu lakukan demi memastikan keselamatan anak-anak terjamin

“Soal kemenjadian murid, soal pencapaian mereka dalam pendidikan dan sebagainya tidak akan menjadi tumpuan kalau soal keselamatan anak-anak kita tidak dapat kita jamin,” ujarnya.

Nik Nazmi terdahulu mengalu-alukan komitmen kerajaan supaya siasatan kematian pelajar tersebut dilakukan secara telus bagi merungkai pelbagai persoalan yang sedang berlegar. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast