KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menepis dakwaan bahawa kementeriannya melindungi pihak tertentu yang disyaki terlibat dengan kes buli di sekolah.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang terlibat tidak akan terlepas dengan undang-undang sedia ada.
Jelas beliau, ia turut terpakai kepada semua kes termasuk insiden kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
“Saya nak maklumkan mengenai semua kes di sekolah sama ada berkaitan disiplin atau buli. Pihak KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) ada garis panduan yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa.
“KPM tegaskan kita tidak berkompromi terhadap mana-mana isu berkaitan buli dan kedua, kita takkan dan tak pernah cuba melindungi sesiapa seperti dinyatakan (melalui maklumat tular di media sosial), pada semua peringkat,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat.
Beliau menyatakan demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan) yang menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kes buli di sekolah, khususnya kes Allahyarham Zara, susulan pelbagai spekulasi timbul sedangkan kematian remaja itu sudah dilaporkan hampir sebulan lalu.
Kes berkenaan mendapat liputan meluas dan mengundang pelbagai reaksi.
Sementara itu, Kah Woh memberi jaminan KPM sedia bekerjasama dengan pihak polis khususnya dalam memberi bantuan bagi siasatan yang sedang dijalankan.
“Dalam kes Zara, sekarang ini sebagaimana kita tahu, isu ini dalam siasatan pihak polis. KPM akan serahkan kepada polis untuk buat siasatan,” katanya.
Semalam kubur Allahyarhamah Zara Qairina digali semula jenazahnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II, Sabah untuk tujuan bedah siasat.
Ia susulan arahan Jabatan Peguam Negara yang mengesahkan terdapat keperluan untuk menggali semula kubur pelajar itu.
Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar itu meninggal dunia pada 16 Julai lalu selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang pada jam 4 pagi. – MalaysiaGazette
















