KUALA LUMPUR – Malaysia meraih pelaburan digital berjumlah RM3.29 bilion antara Januari hingga Jun 2025.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelaburan itu membuka lebih 6,920 peluang pekerjaan digital bernilai tinggi di seluruh negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Ku Abd Rahman Ku Ismail (Perikatan Nasional) yang meminta Menteri Digital menyatakan apakah kemajuan yang telah dicapai oleh Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) setakat ini dan apakah sumbangan mereka kepada pembangunan AI.
Mengulas lanjut, Gobind berkata, dalam usaha memperkukuh peranan Malaysia dalam landskap AI serantau, NAIO dengan kerjasama MyDigital akan menyelaras penganjuran Sidang Kemuncak AI Asean 2025 pada 12 hingga 13 Ogos 2025, yang bertemakan “Menerajui Pembangunan AI yang Mampan dan Inklusif di Asean”.
Tambahnya, kementerian tersebut juga sedang melaksanakan kajian impak AI ke atas sektor awam melibatkan 28 kementerian, dan kini berada di fasa akhir bagi memacu penggunaan AI merentas sektor.
“NAIO telah memulakan kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian, dan setakat ini sebanyak 55 kes penggunaan telah dikenal pasti,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
















