KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 mulai 12 Ogos 2025. dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion melibatkan 8.6 juta rakyat.
Kementerian Kewangan berkata, jumlah ini merupakan peningkatan seramai 300,000 daripada 8.3 juta penerima Fasa 1 pada Januari 2025 selepas langkah Kerajaan Madani membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak.
“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan Madani tidak mengambil enteng amanah yang dipikul untuk meningkatkan maslahat rakyat terbanyak, agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara.
“Lebih daripada bantuan tunai semata-mata, STR memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan, agar kita dapat menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi Madani,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan.
Kementerian Kewangan berkata, penerima bakal mendapat bayaran sehingga RM650 bagi fasa ini.
STR Fasa 3 akan dibuat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan. – MalaysiaGazette
















