Pengasas NGO Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN), Joseph Prakash (kanan) bersama Pempengaruh Sky, Ahmad Faizal Sulaiman ketika bercakap pada sidang media mengenai tuntutan saman berhubung isu buli, fitnah, ugutan serta gangguan mental yang berlaku di hadapan Menara KPj, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 11 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN) mendedahkan seorang pempengaruh, Ahmad Faizal Sulaiman menerusi akaun TikTok miliknya “Sky” berdepan ugutan jenayah, fitnah, pencerobohan serta gangguan dan buli siber daripada seorang individu, sejak 25 Jun lalu.

Pengasasnya, Joseph Prakash berkata, akibat daripada ancaman jenayah tersebut, Ahmad Faizal kehilangan pendapatan perniagaan sehingga RM50,000 setiap bulan hasil perkongsian jenama, penglibatan pempengaruh dan aktiviti media sosial.

Beliau berkata, kerugian itu disebabkan nama dan reputasi Faizal yang juga seorang ahli perniagaan diserang dengan sengaja di platform TikTok melalui kenyataan palsu, mengelirukan dan berniat jahat.

“Ia merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang,termasuk Seksyen 503 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 499 Kanun Keseksaan (fitnah), Seksyen 441 Kanun Keseksaan (menceroboh) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (buli siber).

“Memorandum ini menuntut tindakan segera, penyelesaian undang-undang dan keadilan bagi tindakan gangguan, fitnah, ugutan dan ugutan yang berulang yang dialami oleh Faizal,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pengasas NGO Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN), Joseph Prakash (kanan) bersama Pempengaruh Sky, Ahmad Faizal Sulaiman ketika menghantar memorandum Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN) mengenai tuntutan saman berhubung isu buli, fitnah, ugutan serta gangguan mental yang berlaku di hadapan Menara KPj, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 11 OGOS 2025

Terdahulu beliau menyerahkan Memorandum PKIPN Tuntutan Keadilan & Tuntutan Kerosakan Sivil kepada pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman di Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.

Joseph juga mendedahkan, Faizal menjadi mangsa kempen yang disasarkan pihak tertentu dengan niat sengaja untuk memusnahkan imej dan kredibiliti awamnya.

“Tindakan itu menyebabkan kemusnahan kewangan dengan mengasingkan pelanggannya serta menimbulkan kemudaratan psikologi kepada dirinya dan keluarga.

“Individu itu juga melakukan fitnah dan buli siber dengan menyerang nama dan reputasi mangsa dengan sengaja di platform TikTok melalui kenyataan palsu, mengelirukan dan berniat jahat.

“Siaran ini direka untuk menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang profesional dan berpengaruh, menyebabkan ejekan orang ramai dan kerosakan reputasi,” katanya.

Lebih malang kata Joseph, individu terbabit juga mengupah pihak ketiga untuk mengeluarkan ancaman terhadap Faizal dan keluarganya, termasuk kononnya mempunyai kenalan dengan Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“Pihak ketiga itu membuat ancaman kepada Faizal di luar kediamannya dengan berkata, dengan hanya satu mesej kepada DPP, dia akan menghadapi masalah yang serius.

“Pihak ketiga itu juga mengeluarkan ancaman ketika berada di dalam kenderaan Faizal dengan mengatakan dia rapat dengan DPP dan dia boleh memenjarakan Faizal selama setahun,” katanya.

Selain itu, dedah Joseph, individu terbabit melakukan provokasi untuk merosakkan reputasi pempengaruh itu dengan memaksa Faizal membuat siaran langsung di TikTok dalam keadaan tekanan psikologi.

“Ia bertujuan untuk mengaibkan dan memburukkan nama Faizal secara terbuka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast