Muhammad Rafique Rashid Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menyediakan satu Kertas Putih ‘Buli Musuh Negara’ sebagai dasar dalam menangani isu buli yang semakin menular sejak kebelakangan ini.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, ia bagi membolehkan kerajaan mendengar rintihan, nasihat, cadangan dan idea daripada semua pemegang taruh dalam isu buli tersebut.

Menurutnya, mekanisme paling mudah setakat ini adalah untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di setiap sekolah dan institusi pendidikan seluruh negara diberi tempoh hingga tiga bulan dari sekarang untuk merangka pelan atau cadangan untuk isu itu.

Tambah beliau, mesyuarat PIBG dalam tiga bulan ini juga mesti memperincikan pelbagai kelemahan dari sudut prosedur laporan kes buli.

Ia ujarnya, termasuk kekurangan atau ketiadaan kamera litar tertutup (CCTV), kes-kes yang tidak diketengahkan atas pelbagai sebab, kekurangan guru-guru kaunseling serta jumlah insiden buli, pemerasan dan masalah pelajar di sekolah masing-masing.

“Data yang diperolehi ini mestilah dimasukkan ke dalam Kertas Putih tersebut.

“Mesyuarat pula perlu dipanggil di setiap peringkat daerah, negeri dan pusat untuk dasar Buli Musuh Negara ini diperhalusi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Muhammad Rafique, Kertas Putih itu kemudiannya perlu disusuli dengan satu prosedur untuk semua yang akan diguna pakai oleh semua institusi pendidikan awam atau swasta.

Katanya, ia bertujuan supaya segala isu dapat ditangani dengan tuntas dan cepat memandangkan setiap satu nyawa yang dapat diselamatkan adalah kemenangan kepada rakyat.

“Pihak berkuasa, jabatan psikologi dan trauma Kementerian Kesihatan (KKM) serta agensi penguatkuasaan lain juga perlu dibabitkan supaya semua pihak berada atas pemahaman yang sama.

“Suatu prosedur operasi seragam juga mesti dikeluarkan agar setiap kes buli di negara ini ditangani dengan cara yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, ujar beliau, Kertas Putih itu walaupun dikemudi oleh Kementerian Pendidikan (KPM), namun tidak boleh diketuai oleh Menteri Pendidikan.

Sebaliknya, ujar beliau, ia perlu diketuai oleh pakar-pakar serta guru-guru yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Guru atau tokoh-tokoh masyarakat lain dari pelbagai bidang profesional.

“Wakil ibu bapa mesti dilibatkan agar ia lebih berkesan, manakala guru-guru mesti diberi peluang untuk menyatakan cadangan mereka termasuk isu muatan kerja atau tanggungjawab berlebihan sehingga kes-kes buli tidak mendapat perhatian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast